Sabtu, 14 September 2019 | 7:38am
Gambar fail, Ardern juga mengumumkan lebih banyak pembiayaan untuk memenuhi keperluan kesihatan mental mangsa terkena tembakan. - Foto Getty Image

New Zealand terus ketatkan pemilikan senjata api

WELLINGTON: New Zealand mendedahkan satu lagi peraturan baharu semalam bertujuan memastikan cuma penduduk yang ‘sihat dan sempurna’ boleh memiliki senjata api susulan kes tembakan di Christchurch Mac lalu.

Kejadian di dua masjid di bandar raya itu mengorbankan 51 jemaah.

Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern, segera mengharamkan raifal separuh automatik ala tentera selepas kes berkenaan tetapi menegaskan larangan selanjutnya diperlukan untuk mensasarkan pasaran gelap.

“Memilik senjata api adalah keistimewaan, bukan hak.

“Ia bermakna kami perlu melakukan segala-galanya untuk memastikan cuba penduduk yang jujur, mematuhi undang-undang boleh mendapatkan lesen senjata api dan menggunakannya,” kata Ardern kepada wartawan di Christchurch semalam.

Menurut undang-undang baru itu, pendaftaran yang akan ditubuhkan diwujudkan untuk mengesan pemilikan setiap senjata api yang dimiliki secara sah di negara itu.

Langkah itu juga menambah tempoh penjara bagi membekalkan senjata api kepada individu tidak mempunyai lesen dari tiga bulan kepada dua tahun, selain mengetatkan pengimportan dan penjualan senjata.

Polis akan menentukan sama ada individu ‘sihat dan sempurna’ untuk mendapat lesen dengan kuasa menidakkan sesiapa yang menggalakkan ekstremisme, disabitkan dengan jenayah ganas atau isu kesihatan mental, termasuk cubaan membunuh diri.

Pendaftaran itu, dijangka mengambil masa lima tahun untuk lengkap, akan mengandungi butiran mengenai anggaran 1.2 juta senjata api di New Zealand, bagi kira-kira lima juta penduduk.

Pengganas kulit putih, Brenton Tarrant, memperoleh raifal secara sah sebelum melakukan tembakan paling buruk dalam sejarah moden New Zealand.

Dia mengaku tidak bersalah ke atas 51 tuduhan membunuh, 40 tuduhan cubaan membunuh dan terbabit dalam tindakan pengganas.

Pembunuhan beramai-ramai di Christchurch mengejutkan New Zealand dan pembaharuan senjata oleh Ardern diterima secara umum di negara itu. — Agensi

Berita Harian X