Isnin, 9 September 2019 | 9:13pm
Pesawat pengebom air bomba Queensland memadam kebakaran di Binna Burra, sejauh 100 kilometer di selatan Brisbane. -Foto AFP

Angin marakkan kebakaran belukar Australia, ganggu penerbangan

MELBOURNE: Angin kencang memarakkan kebakaran belukar di dua negeri Australia hari ini, dengan api tidak terkawal di sesetengah kawasan sehingga memusnahkan ribuan hektar tanah, kata pihak berkuasa bomba.

Angin kuat juga menjejaskan penerbangan ke dalam Sydney, lapangan terbang paling sibuk negara itu apabila sebuah landasan ditutup selama tiga jam pagi hari ini, kata Perkhidmatan Udara Australia.

Kebakaran belukar bermula lebih awal berbanding biasa di Queensland dan New South Wales (NSW) ketika musim bunga selatan hemisfera, menyebabkan perkhidmatan bomba memberi amaran pada musim panas bermula Disember hingga Februari.

“Kebakaran lebih awal musim ini tidak dijangka. Namun jika ini yang berlaku, kami benar-benar bimbang untuk beberapa bulan akan datang jika gagal memadam kebakaran belukar seperti ini,” kata Timbalan Pesuruhjaya Perkhidmatan Bomba dan Kecemasan Queensland, Neil Gallant kepada saluran televisyen Australian Broadcasting Corp (ABC) susulan dua tahun kemarau yang menyebabkan sebahagian besar kawasan negara itu kering.

Sehingga hari ini, lima hartanah disahkan musnah di NSW sementara lebih 200 kediaman terselamat daripada terbakar, kata perkhidmatan bomba negeri itu.

Biro Meteorologi memberi amaran angin kencang, dengan kekuatan 90 kilometer sejam di sepanjang pantai timur NSW hari ini. Angin dijangka berkurangan esok.

Biro itu berkata, kekuatan angin disebabkan sistem tekanan rendah di Laut Tasman antara Australia dan New Zealand serta sistem tekanan tinggi di luar pantai selatan Great Australian Bight. -Reuters

Berita Harian X