Sabtu, 31 Ogos 2019 | 6:40pm
Penyokong pro demokrasi membanjiri jalan utama sekitar Hong Kong hari ini tanpa menghiraukan amaran polis. - Foto EPA

Penduduk Hong Kong memprotes lagi

HONG KONG: Ribuan penyokong pro demokrasi membanjiri jalan utama sekitar Hong Kong hari ini tanpa menghiraukan amaran polis dan operasi yang menyaksikan penahanaan beberapa aktivis utama serta pembuat undang-undang.

Polis mengeluarkan larangan untuk tunjuk perasaan diadakan hari ini selepas minggu lalu menyaksikan beberapa pertempuran paling ganas dalam tempoh tiga bulan krisis politik berkenaan berlaku.

Namun menjelang awal tengah hari tadi, ribuan penunjuk perasaan dengan pakaian rasmi iaitu baju t berwarna hitam mula berarak memenuhi Hong Kong dan menghalang jalan.

Sekumpulan perusuh melintasi kediaman rasmi ketua pentadbir Hong Kong, Carrie Lam, iaitu puncak kemarahan banyak pihak selepas cuba meluluskan rang undang-undang yang membenarkan ekstradisi ke China.

Satu lagi kumpulan besar perusuh berarak di daerah beli belah terkenal di Causeway Bay sambil memenuhi jalan dan melaungkan slogan anti kerajaan.

“Saya sudah bersedia menerima segala kemungkinan apabila keluar. Sebagai rakyat Hong Kong, kami berhak untuk berhimpun,” kata seorang perusuh dikenali sebagai Jay.

Polis merayu kepada orang ramai untuk segera bersurai, sekali gus meningkatkan kemungkinan untuk berlakunya pertempuran.

Bantahan terhadap rang undang-undang itu yang kini digantung sementara adalah punca segala rusuhan itu. - AFP

657 dibaca
Berita Harian X