Selasa, 20 Ogos 2019 | 6:24pm
Ketua Eksekutif Hong Kong Carrie Lam Cheng Yuet-ngor mahu dialog diadakan dengan penunjuk perasaan bagi memulihkan ketenteraman awam di wilayah itu. -Foto EPA

Pemimpin HK mahu adakan dialog dengan penunjuk perasaan

HONG KONG: Pemimpin Hong Kong Carrie Lam berkata hari ini, beliau berharap bantahan aman anti-kerajaan hujung minggu lalu adalah permulaan kepada usaha memulihkan ketenteraman awam dan rundingan bersama penunjuk perasaan akan memberi ‘jalan keluar’ kepada wilayah ditadbir China itu.

Ratusan ribu penunjuk perasaan berhimpun secara aman dalam keadaan hujan Ahad lalu masuk minggu ke-11 berturut-turut bantahan yang sering bertukar ganas.

“Saya benar-benar berharap ini adalah permulaan masyarakat ke arah perdamaian dan menjauhi keganasan.

“Kami akan segera berusaha mewujudkan platform untuk dialog. Dialog ini, harapan saya akan bersandarkan persefahaman dan saling hormat menghormati bagi mencari jalan keluar untuk Hong Kong hari ini,” kata Lam.

Kemarahan meletus pada Jun lalu berhubung rang undang-undang yang kini digantung bagi membenarkan suspek penjenayah di wilayah bekas jajahan British itu diekstradisi ke tanah besar China untuk dibicarakan.

Rusuhan itu disulami kebimbangan meluas berhubung terhakisnya kebebasan dijamin mengikut formula ‘satu negara, dua sistem,’ diletakkan selepas wilayah separa autonomi itu dikembalikan kepada China pada 1997 termasuk sistem kehakiman bebas dan hak untuk memprotes.

Polis berkata, tiga orang cedera seorang daripadanya parah dalam serangan pisau oleh penyerang tidak dikenali berhampiran ‘Dinding Lennon’, yang dipenuhi mesej pro-bantahan di daerah Tseung Kwan O dalam Wilayah Baharu. Seorang lelaki ditahan.

Bantahan itu mencetuskan reaksi tegas daripada China yang menuduh negara asing termasuk Amerika Syarikat (AS) menghasut rusuhan di wilayah itu.

Beijing juga menghantar amaran jelas, campur tangan paksa tidak mustahil dengan tentera separa mengadakan latihan di wilayah berjiran, Shenzhen.

Dalam perkembangan berkaitan, Pejabat Luar Britain berkata, ia amat bimbang berhubung laporan seorang kakitangannya di sini ditahan di tanah besar China, namun tiada laporan ia ada kaitan dengan protes. -Reuters

Berita Harian X