Selasa, 20 Ogos 2019 | 1:25am
BANDAR Shenzhen. - Foto AFP

Hong Kong bakal ketinggalan dengan pembangunan Shenzhen

BEIJING: Kerajaan China merancang untuk meningkatkan bandar di tanah besar Shenzhen dan menjadikannya lebih baik berbanding Hong Kong, susulan perhimpunan pro demokrasi besar-besaran di bandar hab kewangan itu.

Perhimpunan, tunjuk perasaan dan sekatan laluan menyebabkan Hong Kong dilanda krisis dan Beijing melihatnya sebagai peluang untuk membangunkan Shenzhen.

Semalam, media kerajaan melaporkan garis panduan kerajaan pusat China untuk mengubah Shenzhen kepada pusat sosialis bercirikan China.

Ia tidak memberikan banyak butiran, namun dokumen dasar itu menetapkan matlamat mengubah kekuatan ekonomi dan kualiti pembangunan Shenzhen supaya menjadi antara yang terbaik di dunia.

Ia juga menyatakan matlamat untuk mewujudkan integrasi meluas dengan Hong Kong dan Macau. Menjelang 2035, bandar selatan China itu akan menerajui dunia dalam tahap kompetitif keseluruhan ekonomi, menurut dokumen itu.

Namun, Hong Kong berisiko ketinggalan, menurut akhbar kerajaan nasionalis itu, Global Times dengan memetik beberapa pakar.

“Jika Hong Kong tidak bersedia menyambut peluang menyertai pembangunan negara, pembangunan bandar ini bakal amat terhad, sementara Shenzhen berkembang amat pantas,” kata profesor Universiti Beihang, Tian Feilong. - AFP

Berita Harian X