Khamis, 15 Ogos 2019 | 8:55am
SUSPEK utama tragedi tembakan di dua masjid Christchurch, Brenton Tarrant. - Foto AFP

Jabatan Pemulihan mohon maaf surat suspek Tragedi Christchurch 'terlepas' keluar

WELLINGTON : Jabatan Pemulihan New Zealand membuat permohonan maaf hari ini selepas suspek utama tragedi tembakan di dua masjid Christchurch dibenarkan menghantar surat dari penjara, dengan kandungannya penuh berunsurkan kebencian dan dikongsi penyokong di internet.

Rakyat Australia, Brenton Tarrant kini ditahan di penjara dengan kawalan keselamatan paling maksimum di Auckland sementara menanti untuk dibicarakan atas kesalahan membunuh 51 jemaah yang sedang menunaikan solat Jumaat, iaitu tragedi tembakan rambang terburuk dalam sejarah moden New Zealand.

Walaupun kerajaan berikrar untuk menyekat Tarrant dari menyebarkan sebarang ucapan kebencian, pegawai pemulihan mendedahkan bahawa suspek dibenarkan menghantar emel dari sel penjara.

Satu daripada surat pelampau kulit putih itu dialamatkan kepada seorang lelaki Russia dikenali sebagai Alan dan disiarkan di laman web 4Chan.

Ditulis dengan gaya kebudak-budakan, nota setebal enam muka surat itu menceritakan mengenai lawatan Tarrant ke Russia pada 2015 dan kekaguman suspek terhadap fasis British, Oswald Mosley .

Perdana Menteri Jacinda Ardern yang sebelum ini berikrar enggan menyebut nama Tarrant amat marah apabila surat itu berjaya melepasi sistem tapisan jabatan pemulihan.

“Jabatan Permulihan sendiri mengakui kesilapan ini. Individu terbabit tidak seharusnya dibenarkan berkongsi pesanan kebencian dari balik pintu penjara,” katanya kepada wartawan di Tuvalu ketika menghadiri sidang kemuncak serantau.

Ketua Eksekutif Jabatan Pemulihan, Christine Stevenson berkata, surat itu tidak sepatutnya dihantar.

“Saya meminta maaf kerana perkara ini mendatangkan tekanan kepada semua pihak yang terbabit dalam tragedi 15 Mac,” katanya.

Stevenson berkata, kemudahan menghantar emel yang diberikan kepada Tarrant digantung seketika sementara ia dikaji semula. - AFP

3968 dibaca
Berita Harian X