Rabu, 14 Ogos 2019 | 9:51pm
Kakitangan di stesen Hakata, di barat daya Jepun berkongsi maklumat dengan penumpang selepas JR-West mengumumkan perkhidmatan kereta api laju Shinkansen akan digantung sementara esok, berikutan ribut Krosa. Foto EPA

Ribut Krosa landa Jepun esok, 310,000 diarah berpindah

TOKYO: Pihak berkuasa Jepun hari ini, menasihatkan lebih 300,000 penduduk supaya berpindah dari kediaman masing-masing, manakala beberapa syarikat penerbangan membatalkan ratusan penerbangan menjelang ketibaan ribut tropika di kepulauan itu, esok.

Menurut Agensi Meteorologi Jepun, ribut tropika Krosa yang membawa angin sehingga 108 kilometer sejam, sedang bergerak ke arah utara menuju ke barat daya negara itu pada jam 8 malam (waktu tempatan).

Katanya, ribut itu dijangka melanda Jepun pada awal pagi esok.

NHK dalam laporan berkata, nasihat untuk berpindah sudah dikeluarkan kepada 310,000 penduduk dan kira-kira 350 penerbangan yang dijadualkan pada esok sudah dibatalkan.

“Saya meminta semua penduduk supaya membuat persiapan, sentiasa berjaga-jaga dan mengambil langkah menyelamatkan nyawa, seperti berpindah dengan lebih awal,” kata Perdana Menteri Shinzo Abe pada mesyuarat Kabinet.

Dalam tempoh 24 jam sehingga 6 pagi (waktu tempatan) esok, agensi kaji cuaca menjangkakan hujan setinggi satu meter bakal melanda Shikoku, iaitu pulau paling kecil antara empat pulau utama di Jepun.

Lebih 200 penduduk meninggal dunia dalam kejadian hujan lebat dan banjir yang melanda beberapa bahagian di barat Jepun, tahun lalu. - Reuters

Berita Harian X