Isnin, 12 Ogos 2019 | 11:10am
RAJA Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud. - Foto Reuters

Pemimpin Islam ucap salam kepada Raja Salman

MINA: Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud dan Putera Mahkota, Mohahammed Salman menerima ucapan selamat daripada beberapa pemimpin negara Islam sempena sambutan Hari Raya Aidiladha, lapor media tempatan.

Arab News melaporkan, antara pemimpin yang membuat panggilan telefon adalah, Emir Kuwait, Sheikh Sabah Al-Ahamd Al- Jaber Al Sabah, Raja Bahrain, Raja Hamad Isa Al-Khalifa dan Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi.

Raja dan putera mahkota mengucapkan terima kasih kepada semua pemimpin terbabit atas doa mereka dan kedua pemimpin itu turut menghantar ucapan balas kepada pemimpin negara Islam lain.

Pada Sabtu lalu, Raja Salman tiba di Mina untuk meninjau kemudahan haji. Kira-kira 2.5 juta jemaah dari seluruh dunia menunaikan haji, perhimpunan tahunan terbesar di seluruh dunia.

Agensi Press Saudi melaporkan, Raja Salman berada di Mina untuk memastikan semua kemudahan yang disediakan kerajaan dan badan swasta menepati keperluan jemaah dan memudahkan mereka untuk menjalankan ibadat dalam keadaan tenang dan selamat.

Ketibaan baginda di istana Mina disambut oleh Menteri Dalam Negeri dan Ketua Jawatankuasa Tertinggi Haji, Putera Abdul Aziz bin Saud bin Naif dan beberapa pegawai kanan.

Umat Islam menunaikan solat sunat Aidiladha di seluruh Arab Saudi semalam dan Imam turut memohon agar Allah menerima doa dan amalan seluruh umat Islam. - Agensi

Berita Harian X