Rabu, 7 Ogos 2019 | 11:54am
Jemaah haji sedang memilih tasbih yang dijual di sebuah kedai di Makkah, Arab Saudi. Foto AFP

Arab Saudi lancar lapan program bagi bantu jemaah haji

MAKKAH: Pihak berkuasa Arab Saudi semalam, melancarkan beberapa inisiatif dan perkhidmatan yang direka bagi mempertingkat pengalaman umat Islam pada musim haji.

Menurut Arab News, lapan projek terbabit dilancarkan oleh Menteri Haji dan Umrah, Dr Mohammed Salih Bentin dan timbalannya, Dr Abdul Fattah Mashat.

Ia termasuk platform haji pintar, satu inisiatif perkhidmatan pemantauan bagi menaik taraf kediaman dengan menyediakan ruang lebih besar dan jadual perjalanan bas serta program kumpulan haji menggunakan sistem elektronik bagi mengurus dan memantau jemaah.

Yang turut dilancarkan, projek bagi meningkatkan kapasiti sebahagian lokasi di Mina yang sudah dikosongkan untuk menempatkan khemah serta inisiatif bagi menaik taraf perkhidmatan makanan dan pengedaran makanan siap di tanah suci.

Selain itu, inisiatif ‘Be an Assistant’ turut dilancarkan bagi menggalakkan orang ramai membantu jemaah haji secara sukarela, manakala satu sistem elektronik dibangunkan bagi mengukur tahap kesediaan tanah suci untuk menerima dan mengendalikan tetamu.

Akhir sekali, program menunaikan haji tanpa beg, yang akan memudahkan jemaah untuk mengangkut bagasi mereka, daripada kawasan penginapan ke terminal haji di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz.

Mohammed Salih berkata, di bawah kepemimpinan Raja Salman dan Putera Mahkota Mohammed bin Salman, Arab Saudi sedang melaksanakan perubahan dalam pelbagai bidang, sebagai sebahagian daripada pelan transformasi kebangsaan, iaitu Wawasan 2030.

Katanya, Kementerian Haji dan Umrah menyumbang ke arah itu dengan melancarkan beberapa projek dan inisiatif.

Beliau berkata, antara kelebihan platform haji pintar adalah ia menawarkan pelbagai perkhidmatan, termasuk permohonan visa elektronik dalam talian bagi membantu jemaah, sekali gus mereka tidak perlu berkunjung ke kedutaan untuk berbuat demikian.

“Ia turut menawarkan kad pintar haji yang mengandungi maklumat peribadi, perubatan serta penginapan jemaah haji dan boleh dibaca atau dimuat turun dengan pantas menerusi pengimbas elektronik,” katanya.

Kad itu juga menyediakan kemudahan komunikasi khas bagi membantu jemaah yang sesat dan kawalan masuk serta keluar dari khemah haji. - Agensi

Berita Harian X