Selasa, 6 Ogos 2019 | 11:17pm
Temel Atacocugu (kanan), yang ditembak sembilan kali ketika serangan masjid Chrischurch mencuba kain ihram untuk dipakai ketika mengerjakan haji. -Foto Agensi

Ibadat haji bantu mangsa serangan masjid Chrischurch pulih

CHRISTCHURCH: Parut daripada sembilan peluru dilepaskan penembak dua masjid New Zealand menembusi bahagian kiri tubuh Temel Atacocugu seperti tali bersimpul.

Namun paling sukar adalah imej berulang pada hari kejadian di masjid dan gagal luput dari ingatan adalah wajah penembak, asap daripada senjatanya dan jemaah yang tumbang ketika cuba lari menyelamatkan diri.

Selepas hampir kehilangan nyawa lima bulan lalu, Temel merasakan beliau seolah-olah ‘dilahirkan semula.’ Minggu ini beliau mahu melahirkan kesyukuran kepada Allah kerana memberinya peluang kehidupan baharu apabila berkesempatan mengerjakan haji ke Makkah atas jemputan kerajaan Arab Saudi.

Pemilik bersama kedai kebab berusia 44 tahun itu antara 200 mangsa dan saudara mara yang terselamat daripada insiden tembakan dua masjid Christchurch dan diberi peluang berkunjung ke Arab Saudi atas jemputan Raja Salman.

Raja Salman menaja tiket penerbangan, penempatan dan kos perjalanan berjumlah lebih AS$1 juta (RM4.19 juta). Kumpulan itu juga berkesempatan berkunjung ke Madinah.

Duta Arab Saudi ke New Zealand, Abdulrahman Al Suhaibani berkata, Raja Salman terkejut dengan serangan dua masjid negara itu pada 15 Mac lalu dilakukan pengganas kulit putih warga Australia yang kini didakwa membunuh 51 orang.

Abdulrahman berkata, ini adalah kali pertama Raja Salman menjemput tetamu Allah dari New Zealand menerusi program jemputan tahunannya. Dua minggu lalu, Abdulrahman berkunjung ke bandar ini untuk menyerahkan pakaian ihram kepada jemaah lelaki.

“Ia adalah masa yang mengagumkan dan peluang keemasan buat individu menaikkan semangat mereka,” kata Gamal Fouda, imam Masjid Al Noor, satu daripada dua masjid yang diserang. Gamal turut menyertai rombongan haji itu sebagai ketua rombongan dan pemimpin agama.

Katanya, memori kejadian tembakan itu masih segar dalam fikiran semua mangsa terbabit dan masjidnya belum kembali kepada normal.

“Perkara paling penting ialah penduduk New Zealand termasuk umat Islam, mereka bersatu menentang kebencian. Kami masih mengatakan kebencian tidak memecah belahkan kami. Kami akan terus menyayangi antara satu sama lain,” kata Gamal.

Temel berkata, selepas kejadian, beliau dirawat di Hospital Christchurch dan tidak boleh makan selama seminggu serta berjalan selama tiga minggu. Namun selepas beberapa pembedahan, beliau kini boleh berjalan tanpa dibantu dan menggerakkan tangan kirinya.

Beberapa pembedahan akan datang dirancang dan Temel dibantu anak saudaranya berusia 21 tahun ketika berada di Makkah.

Seorang lagi yang berpeluang ke Makkah ialah Aya Al-Umari, 33, yang mana abangnya, Hussein, antara yang terbunuh dalam Masjid Al Noor.

Beliau berkata, saksi dan video diambil penembak menunjukkan abangnya bersungguh-sungguh melawan penyerang, membolehkan jemaah lain menyelamatkan diri. -Agensi

Berita Harian X