Khamis, 1 Ogos 2019 | 7:24pm
Video insiden Isnin lalu menunjukkan budak lelaki itu bergayut pada rasuk dan cuba memanjat semula ke balkoni, namun kakinya asyik terlepas. -Foto Agensi

Budak 3 tahun terselamat dari terjatuh balkoni

BEIJING: Seorang kanak-kanak lelaki tiga tahun terselamat daripada terjatuh dari balkoni tingkat enam sebuah pangsapuri di barat daya China selepas orang ramai menyambutnya menggunakan selimut besar, menurut media tempatan.

Video insiden Isnin lalu menunjukkan budak lelaki itu bergayut pada rasuk dan cuba memanjat semula ke balkoni, namun kakinya asyik terlepas.

Tidak lama kemudian, dia berputus asa dan jatuh di atas selimut putih dibentang orang ramai.

“Saya melihat ke atas dan ternampak seorang kanak-kanak bergayut di atas sana. Reaksi saya ialah mencari sesuatu yang dapat menangkapnya.

“Saya terfikir untuk naik ke atas dan mengambilnya namun ia tidak berkesan,” kata seorang kakitangan syarikat pengurusan hartanah tempatan, Zhu Yanhui yang bergegas ke tempat kejadian kepada penyiar CCTV.

CCTV berkata, kanak-kanak itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Zhu berkata, dia membentangkan selimut bersama penghuni lain sambil terus memantau kanak-kanak itu.

“Saya melihat ke arah selimut terfikir jika ia mampu menyelamatkan nyawanya. Satu-satunya perkara yang bermain di fikiran ialah memastikan budak itu selamat,” kata Zhu.

Insiden berlaku ketika kanak-kanak itu ditinggalkan bersendirian sementara neneknya keluar membeli barang dapur, kata polis. Tidak jelas bagaimana dia berupaya membuka pintu gelongsor di balkoni. -AFP

Berita Harian X