Isnin, 29 Julai 2019 | 10:36am
Jemaah haji dari Syria sedang berehat di Bab Al-Hawa di sempadan Turki, sebelum meneruskan perjalanan ke Arab Saudi untuk menunaikan haji. - Foto AFP

17,000 kakitangan pertahanan awam pantau keselamatan jemaah haji

MAKKAH: Direktorat Am Pertahanan Awam sudah memulakan persiapannya bagi musim haji tahun ini, apabila melancarkan pelan kecemasan tahunannya, termasuk mengerah lebih 17,000 pegawai dan lebih 3,000 kenderaan bagi mengawal keselamatan orang ramai.

Arab News melaporkan bahawa ia adalah selaras dengan matlamat untuk melindungi keselamatan jemaah haji dan pelawat dua masjid suci, iaitu Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, di bawah pemantauan Menteri Dalam Negeri dan Ketua Jawatankuasa Tertinggi Haji, Putera Abdul Aziz bin Saud bin Naif.

Selain itu, urusan haji turut dipantau Gabenor Makkah dan Pengerusi Jawatankuasa Haji Pusat, Putera Khaled Al-Faisal dan Gabenor Madinah dan Pengerusi Jawatankuasa Haji Wilayah, Putera Faisal bin Salman.

Pada masa sama, Ketua Pengarah Pertahanan Awam, Leftenan Jeneral Sulaiman Al-Amro, melahirkan penghargaan kepada Raja Salman dan Putera Mahkota, Putera Mohammed bin Salman di atas segala sokongan dan bantuan yang diberikan.

Ia bagi memastikan umat Islam dapat menunaikan ibadat haji dengan selesa.

Sulaiman berkata, pertahanan awam akan memberi tumpuan kepada langkah pencegahan, termasuk meningkat kesedaran, bagi memastikan aspek keselamatan dilaksanakan di semua lokasi, selain memberi penekanan kepada prinsip keselamatan dan mencegah segala insiden berbahaya.

Katanya, pelan itu, termasuk mengadakan latihan bersama dengan pihak berkaitan dan menempatkan perkhidmatan pertahanan awam di beberapa lokasi, bagi memudahkan bantuan diberikan pada waktu kecemasan.

Dalam pada itu, majlis perbandaran Makkah turut melatih 23,000 pekerja bagi melaksanakan pelannya sepanjang musim haji.

Beliau berkata, pekerja terbabit akan bertugas selama 24 jam sehari, mengikut syif yang ditetapkan dan tertumpu di kawasan yang sesak dengan jemaah haji.

Menurut data Direktorat Am Pasport Arab Saudi, lebih 1.75 juta jemaah haji dari luar negara menunaikan haji pada tahun lalu. - Agensi

Berita Harian X