Isnin, 22 Julai 2019 | 12:57pm
Pemandangan luar bangunan Kyoto Animation dimana serangan mengakibatkan 34 orang terbunuh dan mencederakan 34 orang lagi, di Kyoto, Jepun, 20 Julai lalu. - Foto EPA

Asap tebal punca mangsa lemas

KYOTO, Jepun: Asap cepat merebak ketika kejadian kebakaran di syarikat animasi Jepun minggu lalu menyebabkan kebanyakan mangsa lemas dan gagal menyelamatkan diri, kata media Jepun, hari ini.

Laporan awal mendedahkan, daripada semua mangsa yang terbunuh, 19 ditemui dalam keadaan bertindan di atas tangga antara tingkat tiga dan pintu menuju ke bumbung, dipercayai mereka tidak dapat membuka pintu daripada dalam.

NHK memetik kenyataan polis sebagai berkata, hasil siasatan menunjukkan, walaupun pintu dapat dibuka dari dalam, asap terlalu cepat merebak menyebabkan mangsa lemas sebelum sempat bertindak.

Menurut pakar, tangga ‘spiral’ berhampiran lokasi suspek, Shinji Aoba, 41, menyalakan api bertindak sebagai cerobong untuk menyalurkan asap ke atas melalui bangunan tiga tingkat itu.

Mangsa yang terselamat berkata, keadaan asap itu tidak ubah seperti ‘cendawan hitam’ naik ke atas tangga.


Keadaan tangga ‘spiral’ berhampiran lokasi suspek, Shinji Aoba, 41, menyalakan api bertindak sebagai cerobong untuk menyalurkan asap ke atas melalui bangunan tiga tingkat itu. - Foto EPA

“Saya dengar suara sedang bertengkar di tingkat satu, selepas 15 saat, asap hitam mula naik daripada arah tangga,” kata mangsa kepada NHK.

Menurut polis, di lokasi tangga kedua, kawasan ramai mangsa dijumpai, turut mengalami kesan yang sama, bermakna semua mangsa lemas disebabkan asap. Hampir semua meninggal dunia kerana keracunan karbon monoksida.

Serangan di Kyoto Animation pada Khamis lalu apabila seorang lelaki menjerit ‘mati’ sambil menyimbah sebaldi minyak tanah di pintu masuk lalu menyalakan api, menyebabkan 34 orang terbunuh, menjadikan ia pembunuhan beramai-ramai terburuk dalam tempoh satu dekad di Jepun. - Reuters

Berita Harian X