Jumaat, 19 Julai 2019 | 11:03am
Timbalan konsul Turki terbunuh di sebuah restoran di Arbil, Ankara, Rabu lalu. - Foto REUTERS

Turki lancar serangan udara di Kurdistan

ANKARA: Turki melancarkan serangan udara ke atas wilayah autonomi Kurdis sebagai tindak balas terhadap pembunuhan kakitangan diplomatnya di rantau itu.

“Susulan serangan di Arbil, kami melancarkan operasi udara yang paling komprehensif di Qandil dan ia mencetuskan tamparan hebat kepada organisasi keganasan, Parti Pekerja Kudistan (PKK),” kata Menteri Pertahanan Turki, Hulusi Akar dalam satu kenyataan.

Katanya, sasaran seperti kedudukan senjata, penginapan, tempat perlindungan dan gua milik pengganas musnah dalam serangan itu.

“Perjuangan kami menentang keganasan dipertingkatkan sehingga pengganas terakhir dihentikan dan kematian kakitangan dapat pembelaan sewajarnya,” katanya.

Pada Rabu lalu, seorang timbalan konsul Turki ke wilayah autonomi Kurdis, di Iraq ditembak mati pada Rabu lalu di Arbil dan menurut sumber polis dua lagi yang lain turut terbunuh.

Setakat ini, tidak ada pihak mengaku bertanggungjawab terhadap pembunuhan itu, tetapi ramai pakar Iraq berpendapat bahawa PKK, iaitu pemisah Turki, dianggap Ankara sebagai kumpulan pengganas, dalang di sebalik serangan itu.

Namun, Parti Demokratik Kurdistan (KDP) yang mengetuai kerajaan serantau, menikmati hubungan politik dan perdagangan yang baik dengan Turki.

Sejak Mei lalu, Turki menjalankan kempen serangan dan pengeboman di rantau utara pergunungan untuk melemahkan PKK, yang melancarkan pemberontakan melawan Turki sejak 1984.

Awal bulan ini, PKK mengumumkan bahawa salah satu daripada serangan itu membunuh pemimpin kanan PKK, Diyar Gharib Mohammed bersama dua pengikut lain. - AFP

Berita Harian X