Rabu, 17 Julai 2019 | 9:52pm
JURUCAKAP presiden Turki, Ibrahim Kalin. - Foto AFP

Ankara berjanji bertindak balas selepas diplomatnya dibunuh

ANKARA: Turki berjanji bertindak balas, selepas seorang kakitangan konsulat negara itu di wilayah autonomi Kurdis di Iraq terbunuh dalam satu insiden tembakan, hari ini.

“Seorang kakitangan kita mati syahid dalam satu serangan kejam di luar konsulat di Arbil,” menurut kenyataan Kementerian Luar Turki.

“Tindakan perlu akan diambil terhadap mereka yang melakukan serangan terkutuk ini,” kata jurucakap presiden Turki, Ibrahim Kalin di Twitter.

Kalin menambah bahawa usaha mencari lelaki bersenjata bertanggungjawab itu sudah bermula, namun beliau tidak mahu membuat spekulasi terhadap pihak bertanggungjawab terhadap serangan terbabit.

Tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu, setakat ini.

“Serangan menyasarkan konsul dan kakitangan konsulat di sebuah restoran. Tiga orang termasuk timbalan konsul Turki maut,” kata sumber polis Iraq.

Pihak berkuasa Turki tidak memberikan maklumat terhadap identiti pegawai Turki yang terbunuh.

Wilayah Kurdis bersempadan dengan Turki.

Mei lalu, Turki melancarkan operasi terhadap Parti Buruh Kurdistan (PKK) yang diharamkannya di Iraq yang melancarkan perang terhadap Turki, sejak 1984. - AFP

1304 dibaca
Berita Harian X