Rabu, 17 Julai 2019 | 7:08pm
JEMAAH Umrah ketika tiba di Lapangan Terbang Jeddah. - Foto AFP

Jemaah Umrah kini boleh lawat seluruh Arab Saudi

JEDDAH: Jutaan jemaah Umrah akan dibenarkan melawat seluruh Arab Saudi sepanjang mereka berada di negara itu, kata Kabinet negara itu semalam.

Ia sebagai sebahagian pelan Arab Saudi untuk menyemarakkan industri pelancongan dan ekonominya.

“Kabinet memutuskan untuk memansuhkan larangan ke atas jemaah Umrah melawat tempat lain selain Makkah, Madinah dan Jeddah.

“Perintah diraja sedang disiapkan untuk perkara ini berkuat kuasa,” kata Pemangku Menteri Media, Issam bin Saeed, dalam kenyataan kepada Saudi Press Agency (SPA).

Sebelum ini, pergerakan jemaah Umrah terhad di Makkah, Madinah dan Jeddah.

Visi 2030 bertujuan meningkatkan kapasiti negara itu untuk menyambut jemaah Umrah daripada lapan juta kepada 30 juta setiap tahun.

Hampir lapan juta umat Islam menunaikan Umrah tahun ini, dan langkah Kabinet akan membolehkan mereka bergerak lebih bebas di Arab Saudi dengan melawat mercu tanda utama, tapak bersejarah, tarikan pelancong dan pusat beli-belah.

“Kami mahu meluaskan pengalaman jemaah dan memudahkan kedatangan mereka.

“Melawat ke seluruh negara ini adalah peluang bagi jemaah mengunjungi tapak kebudayaan dan pelancongan,” kata Ketua Perancangan dan Pegawai Strategi Kementerian Haji dan Umrah, Dr Amr Al-Maddah.

Pada masa sama, katanya, jemaah dibenarkan tiba di mana-mana pelabuhan di negara itu yang memudahkan ketibaan mereka dan meluaskan kapasiti menerima lebih ramai pengunjung.

Kabinet Arab Saudi berharap keputusan mereka akan membantu ke arah mencapai matlamat Arab Saudi menerima 30 juta jemaah Umrah menjelang 2030. — Agensi

Berita Harian X