Sabtu, 13 Julai 2019 | 1:50pm
Menteri Polis New Zealand, Stuart Nash.

Penduduk New Zealand mula serah senjata

CHRISTCHURCH: Puluhan warga New Zealand mula menyerahkan senjata api mereka hari ini sebagai menyokong operasi skim ‘beli balik’ senjata yang menyasar untuk membebaskan negara itu daripada senjata semi automatik selepas dikejutkan oleh tragedi serangan masjid di Christchurch.

Skim yang bakal dilaksanakan di seluruh negara itu menyaksikan lebih 250 senjata pertama berjaya dikutip di Christchurch, lokasi di mana 51 jemaah sebuah masjid ditembak mati seorang pengganas kulit putih kurang empat bulan lalu.

Susulan insiden itu kerajaan dengan sokongan parti pembangkang segera merangka rang baharu bertujuan mengetatkan lagi undang-undang persenjataan di New Zealand.

Menteri Polis, Stuart Nash berkata objektif utamanya adalah untuk mengeluarkan senjata paling berbahaya itu daripada pasaran semasa.

Sepanjang dua jam pertama operasi, sejumlah 68 pemilik senjata api menyerahkan 97 senjata, 94 bahagian dan aksesori senjata sambil dipantau anggota polis.

Ketua polis serantau, Mike Johnson berkata, 903 pemilik senjata di kawasan Canterbury juga sudah mendaftarkan sejumlah 1,415 senjata api untuk diserahkan.

Seorang penduduk, Ray Berard yang berpindah ke New Zealand dari Kanada 25 tahun lalu turut menyerahkan raifal gempur miliknya.

“Saya pernah berkhidmat dengan tentera Kanada dan menyertai pasukan menembak Kanada, dan saya tetap percaya bahawa senjata api ala tentera, tiada tempat dalam masyarakat moden,” katanya kepada wartawan.

“Seorang individu mampu mencederakan ramai orang, lebih-lebih lagi jika anda ada masalah mental dan memiliki senjata yang mampu menembak 100 pusingan seminit.”

Warga Australia, Brenton Tarrant didakwa membunuh dan dipercayai menggunakan lima senjata penggempur termasuk dua raifal separa automatik ala tentera (MSSAs) ketika menyerang dua masjid terbabit.

Dia mengaku tidak bersalah ke atas semua dakwaan keganasan itu termasuk 51 dakwaan membunuh dan 40 cubaan membunuh. - AFP

Berita Harian X