Jumaat, 12 Julai 2019 | 10:04pm
Presiden Indonesia, Joko Widodo ditemubual Bloomberg News. - Getty Images

Presiden Indonesia berjanji lawan dasar minyak sawit EU

JAKARTA: Presiden Indonesia berjanji melawan Kesatuan eropah (EU) berhubung rancangan mengehadkan penggunaan minyak sawit untuk bahan bakar bio.

Brussels mahu mengehadkan bahan yang boleh digunakan dalam bahan bakar itu berdasarkan sasaran tenaga boleh diperbaharuinya.

Ia sudah menetapkan sasaran 2030 untuk menghentikan penggunaan minyak sawit yang didakwa ahli alam sekitar sebagai punca pemusnahan hutan dan perubahan iklim.

Bagaimanapun, rancangan itu mencetuskan kemarahan negara pengeluar sawit seperti Indonesia dan Malaysia. Kedua-dua ekonomi negara itu bergantung kepada komoditi terbabit.

Dalam temu bual dengan Bloomberg News, hari ini, Presiden Indonesia, Joko Widodo berkata, beliau berazam mahu EU mengubah peraturannya.

“Bagi saya, langkah itu seperti diskriminasi, saya akan melawan kerana 16 juta petani dan pekerja dalam perniagaan ini. Minyak sawit adalah komoditi strategik Indonesia,” katanya. - AFP

Berita Harian X