Khamis, 11 Julai 2019 | 4:43pm

Kad pintar teknologi tinggi pastikan keselamatan jemaah Haji

JEDDAH: Arab Saudi akan mengedarkan kad pintar berteknologi tinggi kepada sehingga 25,000 jemaah Haji di Mina tahun ini dalam program permulaan yang dilancarkan Kementerian Haji dan Umrah negara itu.

Kad berkenaan menyimpan maklumat peribadi jemaah, status kesihatan, kediaman dan butiran Haji.

Ia juga dilengkapi dengan pengesan lokasi untuk mengikuti pergerakan jemaah secara individu, dikendalikan oleh bilik kawalan di Mina.

“Ini adalah tahap uji kaji inisiatif Haji pintar yang sedang kami usahakan, dan akan mengkaji setakat mana ia memberi kebaikan kepada jemaah.

“Bilangan akan meningkat pada masa hadapan untuk memasukkan lebih ramai lagi jemaah di kawasan lain,” kata Ketua Perancangan dan pegawai strategi di Kementerian Haji dan Umrah, Dr Amr Al-Maddah.

Kementerian turut mengeluarkan kad pengenalan kepada 200,000 jemaah, yang mempunyai teknologi penyimpanan maklumat sama tetapi tanpa paparan pengesan lokasi.

Kad berkenaan boleh diimbas, membolehkan penyedia perkhidmatan Haji segera mengenal pasti jemaah, akses kepada sejarah perubatan dan menentukan bentuk bantuan yang mereka perlukan.

Tahun ini, kad akan dilengkapi dengan aplikasi Kad Pengenalan Pintar Haji, kata Al-Maddah.

“Ia akan menawarkan paparan sama seperti kad pengenalan pintar, termasuk pengesan lokasi, mengenal pasti tempat sesak di dalam peta dan jadual pengangkutan,” katanya.

Kad pintar dan aplikasi telefon bimbit juga membolehkan kementerian meramalkan tingkah laku jemaah sepanjang musim Haji.

“Teknologi baru ini akan membantu kita mengumpulkan data menerusi kad, kamera dan penapisan yang diedarkan seluruh lokasi Haji,” kata Al-Maddah. — Agensi

Berita Harian X