Rabu, 3 Julai 2019 | 6:33pm

9 dihukum mati cuba bunuh PM Bangladesh

DHAKA: Mahkamah Bangaldesh hari ini menjatuhkan hukuman mati ke atas sembilan anggota parti pembangkang dan penjara seumur hidup ke atas 25 lagi kerana cubaan membunuh Perdana Menteri Sheikh Hasina, 25 tahun lalu, kata peguam kerajaan, Aminul Islam.

Tiga belas juga dipenjarakan selama 10 tahun kerana pembabitan mereka dalam serangan terhadap kereta api yang membawa Hasina pada 1994.

Ketika itu, Hasina ialah pemimpin pembangkang dan musuh ketatnya, Khaleda Zia, sebagai Perdana Menteri.

Kini, Zia dan Parti Nasionalis Bangladesh (BNP), adalah pembangkang.

“Tertuduh membaling bom dan melepaskan tembakan ke arah gerabak, mensasarkan untuk membunuh Hasina,” kata Islam kepada wartawan di luar mahkamah di pekan Pabna, lokasi serangan berlaku, 160 kilometer ke barat laut Dhaka.

Pentadbiran Hasina dituduh menekan pembangkang dan memenjarakan pengkritik, termasuk penyokong BNP.

Zia berada dalam penjara atas tuduhan rasuah yang dikatakan beliau bermotifkan politik.

Permusuhan antara Hasina dan Zia, kedua-dua saudara kepada pemerintah terdahulu, menguasai politik Bangladesh selama beberapa tahun.

Peguam kepada beberapa defendan, Masud Khandaker, berkata semua tertuduh akan mengemukakan rayuan. — Reuters

Berita Harian X