Selasa, 25 Jun 2019 | 12:39am
Danny Danon. - Foto fail Reuters

Palestin patut henti perjuangkan negara berdaulat

NEW YORK: Duta Israel ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa penduduk Palestin supaya menyerah kalah dalam memperjuangkan impian negara berdaulat.

Menurut satu komentar yang diterbitkan dalam akhbar New York Times, Danny Danon berkata, mereka patut menerima manfaat ekonomi, ketika Amerika Syarikat (AS) mengusahakan pelan damai yang menjanjikan dana berbilion dolar.

Rata-rata pemimpin Palestin sebelum ini memaklumkan, pelan AS sama seperti menyerah kalah dan mengisytiharkan inisiatif Presiden Donald Trump itu gagal, sebelum dilaksanakan.

“Soalan saya: Apa masalahnya dengan Palestin menyerah kalah? Tindakan meneruskan perjuangan membawa kesan lebih teruk berbanding tunduk,” katanya.

Kenyataan itu dibuat, ketika menantu Trump, Jared Kushner akan merasmikan persidangan di Bahrain, esok, untuk mengumumkan rancangan mengumpul pelaburan sebanyak AS$50 bilion (RM207.13 bilion) untuk warga Palestin dan beberapa negara Arab jirannya.

“Tidak banyak kerugian di pihak Palestin. Mereka akan mendapat banyak faedah apabila menghentikan perjuangan dengan menerima keamanan.

“Ketua perunding Palestin, Saeb Erekat tersilap apabila mencadangkan tindakan ‘menyerah kalah’ akan membawa kepada kemusnahan warga Palestin.

“Ini tidak benar. Sebaliknya, tindakan menyerah kalah akan membuka peluang perubahan kepada masyarakat Palestin ke arah pembebasan,” katanya.

Berita Harian X