Jumaat, 14 Jun 2019 | 4:40pm
Brenton Tarrant. - Foto Reuters

Pengganas Christchurch berhadapan tuduhan keganasan baru

WELLINGTON: Pengganas kulit putih, Brenton Tarrant, dijangka mengemukakan rayuan, dan berhadapan tuduhan keganasan baru, apabila hadir di mahkamah hari ini berhubung kes tembakan di dua masjid di Christchurch.

Dalam serangan 15 Mac lalu yang disiarkan secara langsung di Facebook, pengganas yang bertindak berseorangan dengan senjata separuh automatik mensasarkan jemaah di dua masjid di Christchurch, mengorbankan 51 orang dan mencederakan puluhan lagi.

Tarrant sudah pun berhadapan 50 tuduhan membunuh susulan serangan itu dan apabila hadir di Mahkamah Tinggi Christchurch hari ini, beliau didakwa menurut akta keganasan, kali pertama tuduhan seumpama itu dikenakan di New Zealand.

Polis mengumumkan rancangan mengenakan dakwaan keganasan dan tambahan tuduhan membunuh bulan lalu.

Minit yang dikeluarkan kepada media oleh Hakim Mahkamah Tinggi Christchurch, Cameron Mander, minggu lalu menyatakan Tarrant akan mengemukakan rayuan terhadap tuduhan itu.

Tarrant tidak perlu menyerahkan rayuan pada penampilan akhirnya di mahkamah pada 5 April lalu, kerana Mander mengarahkan dia menjalani penilaian mental terlebih dahulu bagi memastikan sama ada dia sihat untuk dibicarakan.

Mahkamah juga menarik balik arahan supaya wajah Tarrant dikaburkan, yang memaksa media menyiarkan imej kabur yang melindungi mukanya.

Warga Australia itu ditahan selepas kejadian tembakan dan dipindahkan ke penjara kawalan maksimum di Auckland.

Dia akan hadir di mahkamah menerusi pautan video. — Reuters

361 dibaca
Berita Harian X