Ahad, 19 Mei 2019 | 1:29pm
Kawalan keselamatan ketat di Kolkata dan kawasan sekitar ketika orang ramai keluar mengundi hari ini. - Foto Reuters

Pilihan raya fasa akhir India di kawal ketat

KOLKATA: Rakyat India di timur Benggala Barat keluar mengundi hari ini dalam fasa terakhir pilihan raya terbesar yang bakal menentukan sama ada Perdana Menteri Narendra Modi kembali memimpin untuk penggal kedua.

Kira-kira 900 juta pengundi berdaftar keluar mengundi dalam pilihan raya tujuh fasa dengan kiraan undi akan bermula Khamis depan.

Pilihan raya selama 39 hari itu bermula dengan beberapa kekecohan dan menambah ketegangan dengan negara jiran Pakistan kerana menjadi bahan kempen Parti Bharatiya Janata (BJP) yang gemar menumpukan isu keselamatan negara.

Parti pembangkang utama, Parti Kongres dan beberapa parti lain menumpukan isu salah tadbir ekonomi kerajaan dan kegagalan mewujudkan peluang pekerjaan dalam cubaan untuk memenangi hati pengundi.

Bagaimanapun, kempen bertukar menjadi serangan peribadi dan menyakitkan hati pada pentas akhir mencetuskan pertengkaran antara parti bertanding untuk meraih undi rakyat di Benggala Barat.

Keadaan itu memaksa suruhan jaya pilihan raya India, menggantung kempen pada Rabu lalu, sehari lebih awal selepas berlaku keganasan di ibu negeri, Kolkata.

Kawalan keselamatan sangat ketat di Kolkata dan kawasan sekitar ketika orang ramai keluar mengundi hari ini.

Menurut ketua pegawai elektoral di Kolkata, kira-kira 57,000 anggota polis dikerah dan lebih 400 orang pasukan bantuan bersedia jika berlaku sebarang kekacauan.

Seorang pekerja utiliti swasta, Amitava Ganguly berkata, terdapat perpecahan dalam kalangan pengundi di Benggala Barat dan dia mendakwa tidak pernah melihat pilihan raya seperti itu sebelum ini.

BJP berusaha untuk membuka laluan ke Benggala barat, negeri ketiga yang mempunyai banyak kerusi parlimen di India, untuk mengimbangi sekiranya mereka kalah di tempat lain tetapi terpaksa berdepan pembangkang kuat, Parti Kongres Trinamool Serantau.

Lebih 100 juta rakyat India layak mengundi pada fasa akhir, untuk memilih wakil 59 kerusi di lapan negeri. Parlimen India mempunyai 545 kerusi daripada 272 kerusi yang dimenangi BJP dalam pilihan raya 2014 untuk mendapatkan majoriti satu parti, kali pertama dalam tempoh tiga dekad.

Menurut Profesor Sains Politik Universiti Ashoka dekat New Delhi, Neelanjan Sircar, kumpulan parti pembangkang cuba membangkitkan kemarahan terhadap Modi dan kekuatan peringkat akar umbi yang membantu kemenangan parti itu pada 2014.

“Pada saya pilihan raya ini lebih berbentuk pertempuran antara tanggungjawab pengundi dan organisasi parti,” kata Sircar.

139 dibaca
Berita Harian X