Ahad, 19 Mei 2019 | 1:26pm
Scott Morrison (tengah) meraikan kejayaan bersama penyokong selepas memenangi pilihan raya. - Foto EPA

Gabungan parti konservatif Australia cipta kemenangan mengejut

CANBERRA: Gabungan parti konservatif yang mentadbir Australia menang mengejut pada pilihan raya umum negara itu semalam, menolak tinjauan pendapat yang menyatakan ia bakal kalah.

“Saya percayakan keajaiban,” kata Perdana Menteri, Scott Morrison, kepada penyokong yang gembira dengan kemenangan itu.

Beliau membandingkan kemenangan Parti Liberal pimpinannya untuk penggal ketiga dengan kelahiran dua anak perempuannya, Abbey, 11 dan Lily, sembilan tahun, yang dilahirkan secara semula jadi selepas 14 tahun cubaan persenyawaan luar rahim gagal.

“Saya berada dengan tiga keajaiban terbesar dalam hidup saya, dan malam ini kita menunjukkan satu lagi,” katanya sambil memeluk isteri dan anaknya.

Pemimpin pembangkang, Bill Shorten, terdahulu mengaku kalah apabila parti campuran semakin memperoleh majoriti dalam Dewan Perwakilan yang mempunyai 151 kerusi, yang diperlukan parti untuk membentuk kerajaan.

Pengiraan undi diteruskan hari ini.

Persaingan sengit membangkitkan prospek pembentukan kerajaan minoriti campuran.

Konservatif menjadi kerajaan minoriti selepas menyingkirkan Malcolm Turnbull dan menggantikan beliau dengan Morrison dalam perebutan kuasa dalaman Ogos lalu. - Agensi

486 dibaca
Berita Harian X