Ahad, 19 Mei 2019 | 11:16am

40 dirawat terhidu bahan kimia

KAHERAH: Empat puluh penduduk bandar Tanta terpaksa menerima rawatan di hospital kerana sukar bernafas susulan kebocoran kilang bahan pencuci pakaian, kata pegawai semalam.

Mereka yang ditahan di hospital menunjukkan gejala lemas dan keracunan selepas menghidu kimia yang bocor dari kilang itu, media Mesir memetik pegawai sebagai berkata.

Kebocoran berlaku malam kelmarin selepas tangki pecah di kilang milik persendirian di Tanta, kira-kira 90 kilometer ke utara Kaherah.

Mangsa ialah pekerja kilang dan penduduk yang berjalan berhampiran lokasi, menurut akhbar Al Watan.

Pasukan perkhidmatan kecemasan bergegas ke lokasi kejadian dan memindahkan mangsa yang terjejas ke hospital.

Mereka kemudian dibenarkan keluar selepas pulih, kata ketua hospital universiti bandar itu, Dr Ahmad Ghoneim.

“Semua mereka dalam keadaan baik. Tiada kes teruk dalam kalangan mereka,” katanya dalam kenyataan akhbar.

Polis menangkap pemilik kilang untuk disoal siasat berhubung kejadian itu. — Agensi

132 dibaca
Berita Harian X