Ahad, 19 Mei 2019 | 10:27am
LOKASI tujuh belas pegawai polis Afghanistan maut dalam serangan udara Amerika Syarikat.

AS 'bunuh' 17 polis Afghanistan akibat salah faham

KABUL: Tujuh belas pegawai polis Afghanistan maut dalam serangan udara Amerika Syarikat kerana ‘salah komunikasi’ ketika pertempuran dengan Taliban, menurut pegawai tentera.

Kejadian itu berlaku wilayah Helmand di selatan Afghanistan petang Khamis lalu.

Pasukan keselamatan Afghanistan meminta bantuan udara AS selepas mendapat tentangan sengit daripada militan Taliban di luar ibu negeri wilayah itu, Lashkar Gah.

Tentera AS berkata, mereka mensasarkan kawasan itu selepas diberitahu unit sekutu tiada di situ.

“Malangnya, mereka masih ada dan ia menyebabkan kemalangan tragik. Pasukan keselamatan Afghanistan turut terbunuh dalam serangan selain militan Taliban.

“Kami meneliti salah komunikasi itu untuk memastikan ia tidak berulang.

“Kami kesal dengan kehilangan nyawa tragik rakan kami dan komited untuk bertambah baik setiap hari dengan setiap misi,” kata jurucakap tentera AS, Kolonel Dave Butler.

Seramai 14 lagi pegawai polis Afghanistan cedera dalam serangan itu.

Polis diserang ketika cuba menurunkan bendera Taliban dari menara berhampiran, menurut laporan dalam akhbar tentera AS.

Selepas gagal membalas serangan militan, polis meminta bantuan serangan udara.

Gabenor Helmand, Mohammad Yasin, berkata pihak berkuasa Afghanistan sedang menyiasat kejadian itu. — Agensi

437 dibaca
Berita Harian X