Ahad, 19 Mei 2019 | 8:08am
RAJA Salman jemput pemimpin Teluk dan negara Arab menghadiri dua persidangan tergempar di Makkah dan 30 Mei ini untuk membincangkan ‘serangan dan akibatnya’ di rantau itu. - Foto The Independent

Arab Saudi gesa bincang selesai ketegangan

RIYADH: Arab Saudi menggesa Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Liga Arab mengadakan mesyuarat segera membincangkan peningkatan ketegangan di rantau berkenaan, lapor agensi berita rasmi negara itu semalam.

Agensi Media Saudi (SPA) melaporkan, Raja Salman menjemput pemimpin Teluk dan negara Arab menghadiri dua persidangan tergempar di Makkah dan 30 Mei ini untuk membincangkan ‘serangan dan akibatnya’ di rantau itu.

Ketegangan memuncak di Teluk dengan Amerika Syarikat menempatkan kapal pengangkut pesawat dan pengebom di rantau itu berhubung dakwaan ancaman dari Iran.

Empat kapal termasuk dua kapal tangki minyak Arab Saudi rosak dalam serangan sabotaj misteri Ahad lalu di luar Fujairah, wilayah yang terletak di pintu masuk penting ke Teluk.

Kejadian itu diikuti serangan dron Selasa lalu oleh pemberontak Houthi di Yaman terhadap saluran minyak besar Arab Saudi yang menyediakan laluan eksport alternatif jika Selat Hormuz ditutup.

Iran berulang kali mengancam menghalang laluan di Hormuz dalam kes ia berperang dengan AS, yang mengenakan sekatan ke atas Tehran sejak beberapa bulan lalu.

Di sebalik keraguan antarabangsa, AS menunjukkan peningkatan ancaman dari Iran, musuh lamanya dan juga seteru sekutu AS iaitu Israel dan Arab Saudi. — AFP

322 dibaca
Berita Harian X