Jumaat, 17 Mei 2019 | 8:33pm

14 dipenjara seumur hidup terbabit insiden bom Besiktas

ISTANBUL: 14 orang dijatuhi hukuman penjara seumur hidup tanpa parol oleh sebuah mahkamah Turki hari ini kerana terbabit dengan dua pengeboman, mengakibatkan berpuluh maut pada Disember 2016, kata agensi berita rasmi Anadolu.

Pengeboman itu sebahagian daripada siri serangan di seluruh negara bermula pertengahan 2015, di awal kemuncak ancaman keselamatan oleh kumpulan militan Daesh dan kumpulan pemisah Parti Pekerja Kurdistan (PKK).

Serangan bom terbabit dilancarkan selepas satu perlawanan bola sepak profesional pada 10 Disember 2016. Dua bom, satu dipasang pada sebuah kereta manakala satu lagi pada seorang pengebom bunuh diri diletupkan di luar stadium Besiktas.

Kurdistan Freedom Hawk (TAK), sekutu PKK, mengaku bertanggungjawab.

Daripada sejumlah 27 defendan, empat dijatuhi hukuman penjara seumur hidup tanpa parol dan 46 tuduhan merancang pembunuhan dengan pengeboman, kata Anadolu.

Empat defendan itu turut dijatuhi hukuman 4,890 tahun penjara kerana cubaan membunuh, memiliki bahan berbahaya dan merosakkan harta awam, tambah Anadolu.

10 yang lain turut dijatuhi hukuman penjara seumur hidup tanpa parol kerana menggugat keamanan negara, selain 3,380 tahun penjara untuk jenayah lain. Empat defendan terbabit dipenjara 15 tahun kerana menganggotai organisasi pengganas.

PKK dianggap sebagai organisasi pengganas oleh Turki, Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS). Lebih 40,000 orang terbunuh dalam konflik terbabit sejak kumpulan militan melancarkan pemberontakan pada 1984. - Reuters

Berita Harian X