Jumaat, 17 Mei 2019 | 11:14am
Pautan web baru jemaah dari Qatar menunaikan Umrah, https://qtumra.haj.gov.sa

Jemaah Qatar boleh tempah pakej Umrah di Arab Saudi

JEDDAH: Arab Saudi membenarkan jemaah dari Qatar menempah pakej Umrah sebaik tiba, tidak lagi perlu berbuat demikian ketika masih berada di negara mereka.

Mereka boleh berbuat demikian di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz di Jeddah, pintu masuk utama kebanyakan jemaah, lapor Agensi Media Saudi (SPA), memetik Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

Keputusan itu susulan keengganan pihak berkuasa Qatar membenarkan jemaah memohon visa Umrah secara elektronik di negara itu.

Minggu ini, Arab Saudi mengaktifkan pautan web baru, https://qtumra.haj.gov.sa, bagi mengendalikan permohonan daripada rakyat Qatar untuk menunaikan Umrah.

Kementerian menubuhkan pautan baru itu kerana akses kepada pautan lama disekat pihak berkuasa Qatar.

Arab Saudi berulang kali menyatakan warga Qatar dialu-alukan menunaikan ibadat di negara itu, walaupun wujud ketegangan diplomatik antara kedua-dua negara.

Arab Saudi, Bahrain, Mesir dan Emiriah Arab Bersatu memutuskan hubungan perdagangan dan diplomatik dengan Qatar pada 2017, menuduh negara itu melindungi dan membiaya pertubuhan pengganas. — Agensi

Berita Harian X