Selasa, 14 Mei 2019 | 7:08am
Ardern (kanan) akan menyertai pemimpin dunia lain untuk melancarkan satu ‘panggilan Christchurch’ bagi membendung pelampau dalam talian ketika satu mesyuarat di Paris esok. -Foto AFP

PM NZ sasar bendung keganasan dalam talian

WELLINGTON: Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern akan menyertai pemimpin dunia lain untuk melancarkan satu ‘panggilan Christchurch’ bagi membendung pelampau dalam talian ketika satu mesyuarat di Paris esok, susulan pembunuhan beramai-ramai di negaranya Mac lalu.

Peserta akan diminta berikrar menghapuskan kandungan pengganas dan pelampau di media sosial dan platform dalam talian lain.

Tindakan itu tercetus susulan pembunuhan dua masjid Christchurch oleh pengganas kulit putih 15 Mac lalu yang disiarkan secara langsung di Facebook ketika menembak mati 51 orang.

Ardern menjadi peneraju dalam sidang kemuncak Paris, dianjurkan bersama dengan Presiden Perancis Emmanuel Macron susulan tragedi itu.

“Macron adalah antara pemimpin pertama membuat panggilan kepada Ardern selepas serangan dan beliau sekian lama menjadikan penyingkiran kandungan kebencian dalam talian satu keutamaan. Ia adalah masalah global yang memerlukan tindak balas global,” kata Duta New Zealand ke Perancis, Jane Coombs kepada media semalam.

Dalam tulisan pendapat di akhbar The New York Times (NYT) hujung minggu lalu, Ardern berkata, pembunuhan Christchurch mendedahkan ‘aliran baharu menakutkan’ dalam pembunuhan pelampau.

“Ia sengaja disiarkan secara langsung di internet. Keseluruhan insiden disiarkan secara langsung...capaian skala video kejam ini agak menakutkan,” tulisnya.

Ardern berkata, Facebook mengeluarkan 1.5 juta salinan video itu dalam tempoh 24 jam selepas serangan namun mendapati dirinya antara yang menyaksikan rakaman itu apabila ia dimainkan secara automatik dalam media sosial.

Sejak serangan, Ardern secara keras mengkritik gergasi teknologi itu kerana tidak melakukan secukupnya bagi memerangi keganasan dalam talian.

Antara yang hadir dalam sidang kemuncak Paris adalah pemimpin dari Britain, Kanada, Ireland, Norway, Jordan, Senegal dan Indonesia selain eksekutif atasan daripada Twitter, Microsoft, Google dan Amazon. -AFP

133 dibaca
Berita Harian X