Selasa, 30 April 2019 | 4:17pm
SKUAD pemusnah bom New Zealand menemui sebuah bungkusan yang dipercayai berisi peranti letupan di sebuah premis tidak dihuni. - Foto Reuters

Polis New Zealand jumpa peranti letupan, tahan lelaki

WELLINGTON: Skuad pemusnah bom New Zealand menemui sebuah bungkusan yang dipercayai berisi peranti letupan di sebuah premis tidak dihuni dan menahan seorang lelaki di Christchurch, hari ini.

Susulan penemuan itu, polis mengerahkan skuad pemusnah bom, ambulans dan kakitangan kecemasan ke lokasi kejadian dan menutup jalan di sekitar Phillipstown di Pulau Selatan New Zealand.

“Polis menemui satu bungkusan mengandungi bahan dipercayai peranti letupan dan peluru di sebuah premis yang tidak dihuni di Christchurch,” kata penguasa polis daerah, John Price dalam satu kenyataan.

Unit pelupusan bom kemudian mengesahkan bungkusan itu selamat dan seorang lelaki Christchurch berusia 33 tahun ditahan, tambah kenyataan itu. Kawasan itu kemudian dibuka semula kepada orang awam.

Pada 15 Mac lalu, 50 orang terbunuh manakala berpuluh lagi cedera dalam satu serangan pengganas di masjid Al Noor dan Linwood ketika sedang solat Jumaat. Insiden hari ini berlaku hanya satu kilometer dari masjid Linwood.

Suspek pelampau kulit putih, warga Australia Brenton Tarrant, 28, yang melepaskan tembakan rambang di dua masjid di Christchurch dalam insiden itu kini berdepan 50 dakwaan membunuh. - Reuters

188 dibaca
Berita Harian X