Jumaat, 26 April 2019 | 10:38am
Putera William Britain mendengar sesuatu yang diperkatakan oleh Imam Masjid Al Noor, Gamal Fouda (tengah) sewaktu lawatan putera di Christchurch. - Foto AFP

Putera William bertemu mangsa serangan masjid New Zealand

WELLINGTON: Pewaris takhta Britain, Putera William, bertemu dengan mangsa terselamat dalam serangan di dua masjid di Christchurch, termasuk budak perempuan berusia lima tahun yang semakin pulih di hospital, ketika lawatan dua harinya ke New Zealand.

William, yang memakai gelaran Duke of Cambridge, melakukan kunjungan itu bagi pihak neneknya, Ratu Elizabeth, 93, susulan permohonan Perdana Menteri Jacinda Ardern.

Beliau tiba di Christchurch petang semalam dan hari ini, William melawat Hospital Christchurch untuk bertemu mangsa yang cedera dalam serangan itu, sebelum dijangka melawat dua masjid, lokasi pengganas kulit putih membunuh 50 jemaah pada 15 Mac lalu.

William memulakan lawatan semalam ke bandar raya Auckland untuk menghadiri upacara peringatan ANZAC, bagi menghormati rakyat Australia dan New Zealand yang terbunuh ketika berkhidmat dalam perang, konflik dan sebagai anggota pasukan pemerhati.


Putera William Britain menyapa seorang kanak-kanak lelaki tiba di Masjid Al Noor sambil Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern melihat ketika di Christchurch, New Zealand. - Foto REUTERS

Kemudian beliau melawat Hospital Starship Children bersama-sama Ardern untuk bertemu Alen Alsati, lima tahun, yang baru sedar daripada koma selepas kanak-kanak itu dan bapanya cedera dalam serangan berkenaan.

Gambar dan video yang disiarkan di akaun Twitter Istana Kensington menunjukkan putera itu duduk di sisi katil kanak-kanak itu, dikelilingi keluarganya dan Ardern.

Kanak-kanak itu bertanya sama ada William mempunyai anak perempuan.

“Ya, namanya Charlotte. Dia sebaya kamu,” jawab William.

Lewat petang, William dibawa mengunjungi pusat keadilan Christchurch untuk bertemu pihak pertama memberi reaksi kepada kes serangan, termasuk kakitangan ambulans.

“Anda melakukan tugas mengagumkan pada hari yang teruk,” katanya, menurut Twitter Istana Kensington. — Reuters

387 dibaca
Berita Harian X