Ahad, 21 April 2019 | 8:46pm
Anggota penyiasat membuat pemeriksaan di luar Gereja Zion susulan pengeboman di Batticaloa, Sri Lanka, hari ini. - foto AFP

Penyerang berbaris tunggu giliran sebelum letupkan bom

COLOMBO: Pengebom nekad menunggu dengan sabar dalam barisan untuk menikmati bufet sarapan sempena sambutan Easter hari ini di Hotel Cinnamon Grand sebelum meletupkan bahan letupan yang diikat di belakangnya.

Sambil memegang pinggan, lelaki itu, yang mendaftar di hotel itu pada malam sebelumnya sebagai Mohamed Azzam Mohamed, cuma menanti giliran untuk dilayan ketika dia meletupkan bahan letupan di dalam restoran itu, kata pengurus di hotel Sri Lanka itu.

“Keadaan amat kecoh. Ketika itu jam 8.30 pagi dan keadaan sibuk. Ada keluarga di situ.

“Dia datang ke depan barisan dan meletupkan bahan letupan. Salah seorang pengurus kami yang menyambut tetamu ialah antara yang terbunuh,” kata pengurus yang enggan dikenali itu.

Restoran Taprobane di hotel berkenaan berhadapan hari paling sibuk susulan cuti hujung minggu sempena Easter.

Pengebom turut maut. Pegawai hotel lain memberitahu bagaimana pengebom, yang juga rakyat tempatan, mendaftar masuk dengan memberikan alamat palsu, berkata dia berada di Colombo atas urusan perniagaan.

Dua lagi hotel, Shangri-La dan Kingsbury, turut diserang pada masa sama, selain tiga gereja yang dipenuhi pengunjung. - AFP

3911 dibaca
Berita Harian X