Khamis, 28 March 2019 | 7:52am
Gambar fail, Putera William sewaktu menghadiri Upacara Hari St Patrick di Barr Cavalry di Hounslow, Britain pada 17 Mac 2019. - Foto REUTERS

Putera William lawat Christchurch susulan tragedi pembunuhan

WELLINGTON : Putera William akan melawat New Zealand bulan depan bagi menyampaikan penghormatan kepada semua mangsa pembunuhan dua masjid di Christchurch yang meragut 50 nyawa, kata Perdana Menteri Jacinda Ardern dan Istana Kensington, hari ini.

Ardern yang akan menghadiri upacara memperingati semua mangsa peringkat kebangsaan esok berkata, William mewakili neneknya, Ratu Elizabeth II, pemerintah rasmi di bekas koloni British itu.

“Lawatan itu adalah bukti bahawa negara ini sentiasa berdiri teguh bersama sesiapa yang terkesan akibat tragedi berkenaan dan seluruh penduduk Christchurch,” katanya dalam satu kenyataan.

Keluarga Diraja British sebelum ini menyampaikan simpati dan ucapan takziah mereka kepada semua mangsa tragedi berkenaan yang dilakukan seorang pelampau kulit putih awal Mac lalu.

Istana Kensington berkata, lawatan berkenaan yang diadakan lewat April adalah atas permintaan Ardern.

“Duke of Cambridge akan melawat semua mangsa dan menyampaikan penghargaan atas semua sokongan penduduk New Zealand yang begitu ketara beberapa minggu kebelakangan ini,” kata istana dalam satu kenyataan.

Ardern berkata, Putera William memiliki hubungan kukuh bersama Christchurch dan keseluruhan kawasan Canterbury selepas melawat bandar South Island ketika tragedi gempa bumi pada 2011 yang meragut 185 nyawa.

Beliau mengadakan lawatan dua hari ke Christchurch susulan kejadian dan turut melawat bandar itu bersama isterinya, Kate pada 2014. - AFP

1129 dibaca
Berita Harian X