Ahad, 24 March 2019 | 9:23am
MASJID Al-Noor di Christchurch, New Zealand. - Foto Reuters

Dana mangsa tembakan di NZ cecah RM30 juta

CHRISTCHURCH: Dana yang ditubuhkan untuk membantu keluarga 50 mangsa keganasan di dua masjid di, New Zealand sudah memperoleh sumbangan lebih NZ$10.8 juta (RM30 juta).

Dana sokongan di laman web New Zealand, GiveaLittle.co.nz, menerima NZ$8.2 juta (RM23 juta) daripada lebih 91,000 dermawan menjelang hari ini manakala LaunchGood.com, yang memberi tumpuan kepada kutipan sumbangan untuk umat Islam memperoleh NZ$2.5 juta (RM7 juta) daripada lebih 40,000 penyumbang.

Pembunuhan 50 jemaah ketika solat Jumaat di dua masjid di Christchurch pada 15 Mac lalu mengejutkan negara yang biasanya aman dan mencetuskan kebimbangan global, disebabkan penstriman langsung yang dibuat pengganas kulit putih itu.

Sejak itu, rakyat New Zealand memberi sokongan penuh kepada komuniti kecil Islam di negara itu.

Perdana Menterinya, Jacinda Ardern, mengumumkan minggu lalu kerajaan akan menanggung kos pengebumian 50 mangsa .

Serangan turut menyebabkan puluhan lagi cedera, sebahagiannya kritikal. - AFP

624 dibaca
Berita Harian X