Jumaat, 22 March 2019 | 10:53am

Ardern hadir solat Jumaat, bertafakur

CHRISTCHURCH: Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern mengetuai anggaran 5,000 orang yang berdiri di Hagley Park di hadapan Masjid Al Noor ketika solat Jumaat diadakan di sini dan sekitar negara itu.

Ribuan penduduk bukan Muslim datang bagi memperingati 50 mangsa yang dibunuh dalam insiden dua masjid seminggu lalu.

“New Zealand berkabung bersama anda. Kita adalah satu,” katanya dalam ucapan pendek diikuti tafakur dua minit.

Kebanyakan mangsa pembunuhan terburuk New Zealand adalah pendatang atau pelarian dari negara seperti Pakistan, India, Indonesia, Turki, Somalia, Afghanistan dan Bangladesh.

“Kami amat bersedih, namun kami tidak berpecah. Kami bersatu dan tidak membiarkan sesiapa memecahbelahkan kami.

“Kepada keluarga mangsa, orang tersayang tidak mati sia-sia. Darah mereka mengairkan benih harapan,” kata Imam Gamal Fouda kepada hadirin yang berkumpul, ramai memakai selendang tanda sokongan penduduk Islam. - Reuters

2371 dibaca
Ardern berkumpul bersama ribuan penduduk di hadapan Masjid Al Noor ketika solat Jumaat. -Foto AFP
Hadirin bersama Ardern tiba sebelum solat Jumaat di Hagley Park di luar Masjid Al Noor, Christchurch, New Zealand hari ini. -Foto Reuters
Berita Harian X