Isnin, 18 March 2019 | 3:12pm
Brenton Tarrant lelaki yang didakwa berhubung pembunuhan beramai-ramai Christchurch, membuat tanda kepada kamera semasa penampilannya di Mahkamah Daerah Christchurch, kelmarin. - AFP

NZ umum undang-undang baharu senjata dalam masa 10 hari

CHRISTCHURCH: Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern, akan mengumumkan undang-undang baru pemilikan senjata dalam masa beberapa hari lagi, selepas pengganas kulit putih membunuh 50 jemaah di dua masjid dalam kes tembakan di Christchurch Jumaat lalu.

Warga Australia, Brenton Tarrant, 28, didakwa membunuh kelmarin.

Tarrant direman tanpa rayuan dan dijangka dihadapkan semula ke mahkamah pada 5 April ini dan kemungkinan berhadapan lebih banyak tuduhan.

“Dalam masa 10 hari selepas tindakan keganasan mengerikan ini, kami akan mengumumkan pembaharuan yang saya percaya, menjadikan masyarakat lebih selamat,” Ardern berkata pada sidang akhbar selepas Kabinetnya mencapai keputusan asas mengenai pembaharuan senjata susulan tragedi paling buruk di New Zealand.

Selain daripada 50 yang terkorban, puluhan lagi cedera di dua masjid di bandar raya itu dalam serangan yang dilancarkan ketika solat Jumaat.

Pemilik Gun City, David Tipple, berkata pengganas berkenaan membeli empat senjata dan peluru secara atas talian daripada syarikat itu antara Disember 2017 dan Mac 2018, tetapi ia tidak menjual senjata berkuasa tinggi yang digunakan Tarrant dalam kejadian berkenaan.

Menurut undang-undang senjata New Zealand, senjata kategori A boleh jadi adalah separuh automatik tetapi terhad kepada tujuh tembakan.

Ardern tidak memberi butiran lanjut mengenai undang-undang baru itu, tetapi menyokong pengharaman senjata automatik berikutan tragedi berkenaan. — Reuters

2000 dibaca
Berita Harian X