Ahad, 17 March 2019 | 9:59am
Polis mencari bukti berhampiran Masjid Al Noor di Christchurch, hari ini. -Foto EPA

Polis NZ perlu lengkapkan siasatan sebelum jenazah diserah

CHRISTCHURCH/WELLINGTON: Jenazah mangsa bunuh belum diserahkan kepada keluarga kerana siasatan sedang berjalan, kata Pesuruhjaya Polis New Zealand, Mike Bush dalam sidang media di Wellington.

Lazimnya, jenazah penganut Islam dikebumikan dalam tempoh 24 jam.

“Kami perlu memastikan dengan jelas punca kematian dan mengesahkan identiti mereka sebelum perkara itu boleh dilakukan (penyerahan).

“Namun kami sedar terhadap keperluan budaya dan agama, justeru kami melakukannya secepat mungkin dan sesensitif mungkin,” kata Bush.

Bush berkata, mangsa ke-50 ditemui di Masjid Al Noor, di mana lebih 40 orang maut selepas pengganas kulit putih warga Australia, Brenton Harrison Tarrant, 28, menyerbu dan menembak jemaah menggunakan senapang semi-automatik sebelum menyerang masjid kedua di Linwood.


Pesuruhjaya Polis New Zealand, Mike Bush.

Seorang jemaah dari Afghanistan di Masjid Linwood berjaya menggagalkan serangan pengganas yang kemudian melarikan diri menaiki kenderaannya.

Polis kemudian merempuh kenderaan Tarrant dan menahannya.

“Dua pegawai polis bertindak penuh keberanian. Mereka menghalang kematian lanjut dan merisikokan nyawa mereka,” kata Bush.

Acara penghormatan di gereja untuk mangsa diadakan di seluruh negara termasuk ‘Gereja Kadbod’ di Christchurch, struktur sementara dibina selepas bandar itu musnah dalam gempa 2011.

Selain 50 maut, 34 masih dirawat di Hospital Christchurch dengan 12 kritikal di unit rawatan rapi manakala seorang kanak-kanak dipindahkan ke hospital di Auckland.

Di Hagley College, sebuah sekolah bertentangan Masjid Al Noor, sebuah pusat sokongan sementara diwujudkan.

Seorang pelajar tempatan berkata, rakannya terbunuh.

“Dia belajar untuk menjadi juruterbang dan kami bertemunya untuk kelas waktu pagi sebelum ke masjid seperti biasa. Kami tidak mendengar berita daripadanya.

“Saya mendapat panggilan malam tadi daripada seorang rakan mengatakan beliau terbunuh,” katanya yang enggan dikenali.

Majoriti mangsa adalah pendatang atau pelarian dari negara seperti Pakistan, India, Malaysia, Indonesia, Turki, Somalia dan Afghanistan.

Bush berkata, polis tidak percaya tiga lagi individu yang ditahan kelmarin terbabit dalam serangan.

Dua lelaki berdepan dakwaan tiada kaitan dengan serangan sementara seorang wanita dibebaskan, katanya. Tarrant tidak memiliki sejarah jenayah dan bukan berada dalam senarai pemerhatian di New Zealand dan Australia. -Reuters

1644 dibaca
Berita Harian X