Sabtu, 16 March 2019 | 1:24pm
PERDANA Menteri New Zealand, Jacinda Ardern berikrar untuk mengetatkan undang-undang senjata api. - Foto AFP

PM New Zealand ikrar ketatkan undang-undang senjata api

CHRISTCHURCH : Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern berikrar untuk mengetatkan undang-undang senjata api negara itu selepas mendapati suspek pembunuhan dua masjid di Christchurch memperoleh senjata api digunakan secara sah, termasuk dua rifel separa automatik.

Undang-undang senjata api New Zealand tidak seketat negara jiran mereka, Australia yang melaksanakan kawalan tegas penggunaan senjata api selepas digemparkan dengan tragedi hampir serupa pada tahun 1996.

Menurut Ardern, Brenton Tarrant, 28 seorang rakyat Australia memiliki lesen senjata api kategori A pada November 2017 yang membolehkan dia membeli senjata untuk digunakan membunuh jemaah solat Jumaat di dua masjid berkenaan.

Beliau berkata, ada di antara senjata itu sudah diubah suai untuk menjadikan ia lebih berbahaya dan tidak menolak kemungkinan mengharamkan penggunaan senjata separa automatik.

“Hakikat sebenar ialah individu ini memiliki lesen senjata api dan memperoleh senjata jenis itu justeru orang ramai pasti mahukan perubahan. Saya komited melaksanakannya.

“Saya boleh tegaskan satu perkara sekarang, undang-undang senjata kita akan berubah,” katanya dalam sidang media.

Ardern juga mengesahkan bahawa suspek utama dan dua rakan subahat yang ditahan semalam tidak berada dalam senarai atas sebarang aktiviti ekstremism.

“Saya sudah minta agensi kita pagi ini untuk melihat sebarang aktiviti di media sosial atau sebarang reaksi susulan kejadian. Proses itu sedang berjalan sekarang,” katanya.

Ketua Persatuan Polis New Zealand, Chris Cahill mengalu-alukan reaksi Ardern dan berkata, cubaan untuk mengetatkan kawalan senjata api sebelum ini gagal dilaksanakan akibat bantahan keras pembangkang.

“Saya percaya ramai rakyat New Zealand berasa takut apabila mendapat tahu ada individu di negara ini memiliki senjata seperti yang digunakan dalam tragedi Christchurch.

“Ironinya, suspek itu tidak akan berpeluang membeli senjata seperti itu di negara asalnya, Australia,” katanya dalam satu kenyataan. - AFP

Berita Harian X