Sabtu, 16 March 2019 | 10:00am
BRENTON Tarrant ketika hadir di Mahkamah. - Foto Reuters

Suspek pembunuhan tidak mohon ikat jamin

CHRISTCHURCH: Suspek pembunuhan beramai-ramai, Brenton Tarrant, 28, tidak membuat sebarang permohonan untuk diikat jamin dan dia ditahan sehingga sesi mahkamah seterusnya dijadual 5 April ini.

Bekas jurulatih kesihatan itu turut melihat ke arah media beberapa kali sepanjang sesi pendengaran yang diadakan secara tertutup atas faktor keselamatan.

Seramai 42 mangsa masih dirawat di hospital, termasuk seorang kanak-kanak berusia empat tahun selepas serangan yang disifatkan terburuk ke atas komuniti Islam di Barat dalam era moden.

Di luar mahkamah yang dikawal ketat anggota polis bersenjata, anak-anak lelaki kepada Daoud Nabi, seorang lelaki Afghanistan berusia 71 tahun menuntut keadilan sewajarnya.

“Ia sangat dahsyat dan tidak boleh dibayangkan,” kata seorang daripada mereka.

Perdana Menteri New Zeland, Jacinda Ardern hari ini berkata, kebanyakan mangsa berasal dari beberapa negara Islam seluruh dunia termasuk Turki, Bangladesh, Indonesia dan Malaysia.

Menurut rangkaian televisyen Al Arabiya milik kerajaan Arab Saudi, seorang rakyat negara itu terbunuh manakala seorang lagi cedera.

Menteri Luar Jordan pula berkata, sekurang-kurangnya dua rakyat negara itu terbunuh dan jurucakap kementerian luar Pakistan, Mohammed Faisal mengesahkan lima rakyat mereka masih hilang.

Ardern menyifatkan pembunuhan itu sebagai satu serangan pengganas dan berkata penyerang berkenaan bukan dalam senarai pemerhatian atau memiliki sebarang rekod jenayah.

“Dia secara sah membeli dua senjata separuh automatik, dua senapang patah dan satu senapang lain.

“Dia memiliki lesen senjata api sejak November 2017 dan mula membeli senjata bulan berikutnya,” katanya.

Siasatan awal mendapati, suspek merancang setiap idea radikal itu dan melakukan persediaan selama dua tahun untuk menghasilkan manifesto pembunuhan.

Dia turut menyiarkan secara langsung pembunuhan setiap mangsa, sebilangan daripada mereka ditembak dari jarak dekat di masjid utama Christchurch. - AFP

5628 dibaca
Berita Harian X