Sabtu, 16 March 2019 | 9:33am
BRENTOM Tarrant dihadapkan ke mahkamah hari ini. - Foto Reuters

Suspek utama pembunuhan dua masjid dihadap ke mahkamah

CHRISTCHURCH: Suspek utama tragedi pembunuhan beramai-ramai membabitkan dua masjid di Christchurch semalam, dihadapkan ke mahkamah hari ini.

Brentom Tarrant, 28, dari Australia dituduh membunuh puluhan jemaah dan mencederakan 50 yang lain ketika mereka sedang menunaikan solat Jumaat di tiga buah masjid berlainan.

Dia turut menyiarkan serangan itu secara langsung di internet dan menjadikan sentimen anti pendatang sebagai objektif utama dalam manifesto pembunuhan berkenaan.

Sebaik tiba di mahkamah, dia dilihat menunjukkan isyarat ‘OK’ yang antara lain membawa maksud simbolik perkauman kuasa putih.

Tarrant dikenakan satu pertuduhan membunuh namun menurut polis, lebih banyak pertuduhan lain dijangka menyusul.

Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern berkata, tiga orang termasuk Tarrant sudah ditahan susulan serangan.

Individu keempat ditahan semalam kerana memiliki senjata api namun dibebaskan tidak lama kemudian apabila didapati beliau hanya berniat membantu pihak polis.

Seramai 41 jemaah terbunuh di Masjid Al Noor di Deans Avenue, tengah Christchurch, tujuh lagi terkorban di Masjid Linwood di pinggir bandar dan seorang mangsa meninggal dunia dalam rawatan di Hospital Christchurch.

Ardern dalam sidang media berkata, undang-undang senjata api negara itu akan dipinda selepas serangan terbabit.

Suspek memiliki lesen senjata api Kategori A yang membolehkan dia memiliki secara sah senjata separuh automatik, katanya. - Agensi

Berita Harian X