Jumaat, 15 March 2019 | 8:39pm

Facebook, Twitter buang video insiden tembakan di New Zealand

SINGAPURA: Platform media sosial Facebook dan Twitter hari ini berkata pihaknya akan membuang kandungan yang membabitkan insiden tembakan rambang ke atas dua masjid di New Zealand sehingga mengorbankan 49 orang dan mencederakan 20 yang lain.

Seorang lelaki bersenjata menyiar langsung rakaman video dalam Facebook mengenai serangan di sebuah masjid di bandar Christchurch, mirip pembunuhan secara beramai-ramai dalam permainan video selepas menyiar ‘manifesto’ mengecam pendatang asing.

Rakaman video yang disiarkan langsung menunjukkan penembak memandu kereta masuk ke kawasan sebuah masjid sebelum melepaskan tembakan rambang ke atas jemaah yang berada di dalamnya.

Video itu turut memaparkan jemaah masjid yang berkemungkinan sudah meninggal dunia atau cedera sedang terbaring atas lantai.

“Polis memberi peringatan kepada kami mengenai sebuah video dalam media sosial sejurus siaran langsung bermula dan kami bertindak pantas membuang kedua-dua akaun Facebook dan Instagram penembak dan video itu.

“Kami turut membuang sebarang komen berbaur pujian atau sokongan terhadap aktiviti jenayah itu dan penembak sejurus menyedarinya,” kata Facebook. - Reuters

991 dibaca
Berita Harian X