Selasa, 12 March 2019 | 2:14pm
PEMAIN bola sepak pelarian, Hakeem Al Araibi kini sah menjadi warga negara Australia. - Foto Reuters

Pemain bola sepak warga Bahrain jadi rakyat Australia

MELBOURNE: Seorang pemain bola sepak pelarian yang ditahan di Thailand dan diancam akan dihantar pulang ke Bahrain kini sah menjadi warga negara Australia.

“Saya pasti tiada siapa yang dapat mengekori saya sekarang,” kata Hakeem al-Araibi sambil menghela nafas lega hari ini.

Hakeem yang mendapat status pelarian dan pemastautin di Australia pada 2017 selepas melarikan diri dari Bahrain, sah menjadi warga negara Australia dalam satu upacara di Melbourne.

Nama pemain berusia 25 tahun itu mula tular di pentas antarabangsa selepas ditahan ketika berbulan madu di Thailand tahun lalu.

Dia dikehendaki Bahrain atas kesalahan yang dikaitkan dengan kebangkitan dunia Arab (Arab Spring) pada 2011.

Beliau yang mengenakan jaket berwarna merah jambu, tersenyum lebar ketika bergambar bersama Perdana Menteri, Scott Morrison dan Menteri Luar Negeri, Marise Payne selepas upacara berkenaan di Federation Square di Melbourne.

“Saya sangat berterima kasih kepada anda, kini saya rasa selamat. NSydneyo boleh mengikuti saya sekarang,” tulis Hakeem di Twitter hari ini.

Payne dalam ucapannya berkata, sokongan besar-besaran terhadap pemain bola sepak itu “memainkan peranan penting dalam memastikan beliau kembali ke Australia.” - AFP

366 dibaca
Berita Harian X