Khamis, 28 Februari 2019 | 7:48am
Pada 2017, Presiden AS Donald Trump bersetuju menghormati perjanjian dipersetujui bekas Presiden Barack Obama untuk menempatkan sehingga 1,250 pelarian ditahan Australia di PNG dan Nauru. Sebagai pertukaran, Australia menerima kira-kira 30 pelarian dari negara Amerika Tengah. -Foto Agensi

4 pemohon suaka kanak-kanak terakhir Australia ditempatkan di AS

SYDNEY: Baki pemohon suaka kanak-kanak yang ditahan di pusat tahanan terpencil Australia di kepulauan Pasifik sudah ditempatkan semula, kata Menteri Imigresen Australia, David Coleman, hari ini.

Mengikut dasar imigresen tegar Canberra, pemohon suaka yang cuba sampai ke negara itu melalui jalan laut dipintas dan dihantar untuk ditapis di kem Papua New Guinea (PNG) serta kepulauan kecil Pasifik Selatan di Nauru.

Kerajaan minoriti Australia berdepan tekanan meningkat mengeluarkan kanak-kanak dari Nauru di tengah amaran mengenai keadaan kesihatan mental mereka.

Akur dengan ancaman pembuat dasar bebas untuk memaksa pilihan raya lebih awal, Coleman berkata, baki empat kanak-kanak terakhir dan keluarga mereka ditempatkan semula di Amerika Syarikat (AS) sebagai sebahagian perjanjian pertukaran kontroversi antara Canberra dan Washington.

“Kami kini mengeluarkan semua kanak-kanak dari Nauru. Ini adalah sesuatu yang diusahakan kerajaan untuk beberapa ketika, secara senyap dan dengan cara tidak memberi impak kepada dasar perlindungan sempadan,” kata Coleman dalam kenyataan menerusi e-mel.

Pada 2017, Presiden AS Donald Trump bersetuju menghormati perjanjian dipersetujui bekas Presiden Barack Obama untuk menempatkan sehingga 1,250 pelarian ditahan Australia di PNG dan Nauru.

Sebagai pertukaran, Australia menerima kira-kira 30 pelarian dari negara Amerika Tengah. -Reuters

121 dibaca
Berita Harian X