Rabu, 13 Februari 2019 | 1:21pm
Tahanan terakhir seramai 35 orang dikeluarkan dari pulau itu Oktober lalu apabila kem terbabit ditutup. -Foto Agensi

Australia umum buka semula kem tahanan Pulau Christmas

SYDNEY: Perdana Menteri Australia, Scott Morrison hari ini mengumumkan pembukaan semula sebuah pusat tahanan pelarian kontroversi pesisir pantai di Pulau Christmas, menggandakan dasar tegar negara itu terhadap kemasukan pendatang.

Morrison meluluskan pembukaan semula kemudahan terpencil itu, ditutup hanya beberapa bulan lalu, mendakwa undang-undang baharu diluluskan Parlimen akan menambah jumlah pelarian yang cuba sampai ke Australia secara haram.

Pada semalam dan hari ini, Parlimen menepis amaran kerajaan dan menerima rang undang-undang membuka pintu untuk kira-kira 1,000 pelarian ditahan dalam pusat tahanan pesisir pantai di Nauru dan Pulau Manus, Papua New Guinea, ke Australia untuk rawatan perubatan jika pemindahan itu diminta dua atau lebih doktor.

Ia adalah kali pertama sejak beberapa dekad, sebuah kerajaan Australia hilang undi dalam Dewan Perwakilan.

Morrison menolak undang-undang itu yang terpakai kepada pelarian yang sudah ditahan selain menuduh pembangkang cuba melemahkan dan menjejaskan sempadan.

Kerajaan beliau katanya, menerima ‘100 peratus’ cadangan daripada perkhidmatan keselamatan negara itu untuk mengetatkan usaha menghalang ketibaan pendatang dan pemohon suaka dari laut.

Beliau enggan memperincikan langkah terbabit selain mengumumkan pembukaan semula kem di Pulau Christmas, wilayah terpencil Australia sejauh 2,300 kilometer di barat laut bandar barat Perth.

Kemudahan di Pulau Christmas, terletak di Lautan Hindi di selatan pulau Jawa Indonesia, satu ketika dulu menahan ribuan pelarian serta menyaksikan bantahan ganas pendatang yang mengadu keadaan sukar.

Tahanan terakhir seramai 35 orang dikeluarkan dari pulau itu Oktober lalu apabila kem terbabit ditutup. -AFP


Pusat tahanan imigresen Australia di Pulau Christmas. -Foto Agensi

324 dibaca
Berita Harian X