Rabu, 13 Februari 2019 | 10:01am
Morrison dalam sidang media selepas kerajaan hilang undi Rang Undang-undang Medivac (pemindahan perubatan) Dewan Perwakilan Parlimen di Canberra, semalam. Ia adalah rang undang-undang penting membolehkan pelarian sakit di Nauru dan Papua New Guinea dibawa ke tanah besar Australia untuk mendapatkan rawatan perubatan. -Foto EPA

Isu pelarian: Kerajaan Australia tumbang?

CANBERRA: Kerajaan minoriti konservatif Australia berdepan kekalahan politik memalukan semalam, menjadi pentadbiran pertama dalam tempoh hampir sekurun kehilangan undi dalam perundangan utama sekali gus mencetuskan gesaan pilihan raya awal.

Walaupun berusaha melakukan lobi peribadi, Perdana Menteri Scott Morrison dikalahkan ahli parlimen (MP) yang bertegas, pelarian ditahan dalam kemudahan pesisir pantai mempunyai hak dipindahkan ke Australia untuk mendapatkan rawatan perubatan.

Ia adalah kali pertama dalam tempoh beberapa dekad, sebuah kerajaan Australia kehilangan undi terhadap perundangan penting, mencetuskan tepukan gemuruh dan sorakan daripada pemerhati dalam galeri pemerhati Parlimen di sini.

Morrison kehilangan majoriti Parlimen tahun lalu dan bergantung kepada MP bebas untuk mengekalkan kawalan Dewan Perwakilan lebih rendah.

Namun undian 75 berbalas 74 pada hari pertama persidangan Parlimen tahun ini, memihak kepada rang undang-undang pelarian ditolak kerajaan adalah tamparan kepada Morrison dan meningkatkan persoalan jika beliau masih boleh mentadbir.

Apabila kerajaan yang memerintah kali terakhir kehilangan undi perundangan penting pada 1929, Perdana Menteri Stanley Bruce segera mengadakan pilihan raya namun kalah.

Kerajaan Perdana Menteri Arthur Fadden kehilangan undi bajet simbolik pada 1941 dan segera meletak jawatan.

Morrison menolak mengadakan pilihan raya awal, mengatakan undian itu bukan satu usul tidak percaya dalam kerajaan dan beliau masih merancang mengadakan pilihan raya kebangsaan Mei ini.

“Ini bukanlah perkara yang dikaitkan dengan isu keyakinan dan saya tidak menganggapnya sebegitu,” kata Morrison kepada media di sini.

Rang undang-undang itu diluluskan dengan sokongan pembangkang utama Parti Buruh dan MP berkecuali daripada parti Greens berhaluan kiri dan MP bebas.

Kebanyakan MP bebas memberi bayangan mereka mahu kerajaan berkhidmat untuk penggal penuh yang berakhir Mei ini.

Rang undang-undang itu, satu pindaan kepada perundangan kerajaan, kali pertama diluluskan Dewan Senat pada Disember dan kembali semula untuk undian hari ini selepas beberapa perubahan dibuat.

Gesaan mempercepatkan pemindahan perubatan kali pertama dibuat MP bebas Kerryn Phelps tahun lalu selepas menang kubu kuat Parti Liberal di Wentworth apabila bekas Perdana Menteri Malcolm Turnbull disingkir dalam rampasan kuasa.

Sejak itu, kerajaan berdepan krisis demi krisis dan keputusan pilihan raya di Victoria memperhebat jangkaan ia menuju kehancuran Mei ini.

Undian memihak rang undang-undang itu dibuat di tengah kebimbangan meningkat keadaan pemohon suaka dihantar ke Nauru dan Papua New Guinea, dengan laporan penderaan, bunuh diri dan tempoh tahanan panjang. -AFP

359 dibaca
Berita Harian X