Selasa, 12 Februari 2019 | 10:21pm
Pegawai kanan Palestin, Hussein al-Sheikh. - Foto johnib.wordpress.com

AS didakwa cuba sekat dana Palestin

RAMALLAH: Amerika Syarikat (AS) didakwa memberi tekanan kepada bank supaya berhenti berurusan dengan kerajaan Palestin, bagaimanapun Washington menafikan tuduhan itu.

Beberapa pegawai Palestin menuduh AS cuba memaksa bank supaya tidak berurusan dalam transaksi yang mempunyai kaitan dengan pihak berkuasa Palestin (PA), ia menyebabkan fungsi kerajaan pemerintahan sendiri di Tebing Barat terjejas.

“AS tidak memohon penaja asing membantu penduduk Palestin. Kami juga tidak meminta institusi kewangan berhenti menyalurkan dana ke akaun bank pihak berkuasa Palestin.

“Kami mengetahui laporan media yang mencadangkan sekatan ini berlaku. Semua laporan ini tidak tepat,” kata pegawai AS.

Ahad lalu, pegawai kanan Palestin, Hussein al-Sheikh mendakwa Washington melancarkan ‘serangan kewangan’ terhadap pihak berkuasa Palestin.

“Beberapa institusi kewangan antarabangsa dan pihak utama sudah mula mematuhi permohonan AS untuk melaksanakan sekatan kewangan terhadap pihak berkuasa Palestin.

“Washington meminta bantuan kewangan kepada pihak berkuasa dihentikan dan mengeluarkan pekeliling kepada bank supaya tidak menerima pemindahan dana kepada akaun pihak berkuasa Palestin,” kata al-Sheikh.

“AS menggunakan segala cara untuk memberi tekanan kepada negara Arab supaya menghentikan sokongan kewangan kepada kita,” kata Menteri Luar Palestin, Riyad al-Maliki.

Hubungan antara AS dan penduduk Palestin terjejas, sejak Presiden Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, pada hujung 2017. - AFP

193 dibaca
Berita Harian X