Selasa, 12 Februari 2019 | 10:32am
RATUSAN ribu rakyat Iran berarak menandakan ulang tahun ke-40 revolusi semalam. - Foto AFP

Rakyat Iran sambut ulang tahun ke-40 revolusi

DUBAI: Ratusan ribu rakyat Iran berarak dan sebahagiannya membakar bendera Amerika Syarikat sebagai menandakan ulang tahun ke-40 revolusi semalam ketika Tehran mempamerkan peluru berpandu balistik dalam tentangan kepada usaha AS menyekat kuasa tenteranya.

Anggota tentera, pelajar, ulama dan wanita berpakaian serba hitam sambil mendukung anak kecil memenuhi jalan raya seluruh Iran, ramai daripada mereka memegang poster Ayatollah Ruhollah Khomeini, yang menumbangkan Shah dalam kebangkitan Islam yang masih menghantui Barat.

Pada 11 Februari 1979, tentera Iran mengisytiharkan mereka tidak memihak kepada sesiapa, membuka jalan kepada kejatuhan Shah Mohammad Reza Pahlavi yang disokong AS.

Stesen televisyen menunjukkan orang ramai membawa bendera Iran dalam hujan, melaungkan ‘Jahanam Israel, Jahanam Amerika’.

Republik Islam berjanji mengukuhkan tenteranya di sebalik tekanan memuncak dari negara Barat untuk mengekang program peluru berpandu balistiknya.

Ia dipamerkan ketika perarakan itu, termasuk Qadr F, peluru berpandu dengan jarak 1,950 kilometer, lapor agensi berita Tasnim.

“Kami tidak pernah meminta dan tidak akan meminta izin membangunkan jenis berbeza peluru berpandu dan akan meneruskan jalan dan kuasa tentera,” kata Presiden Hassan Rouhani dalam ucapan ke dataran Azadi di Tehran. — Reuters

288 dibaca
Berita Harian X