Isnin, 11 Februari 2019 | 7:38pm
Penduduk Palestin membawa jenazah seorang anggota polis yang terbunuh ketika berada di terowong rentas sempadan di bawah sempadan Gaza dengan Mesir semasa pengebumiannya di Rafah.

Dua penduduk Gaza maut dalam terowong sempadan Mesir

GAZA CITY: Dua penduduk Palestin termasuk seorang anggota polis Hamas maut selepas terhidu gas toksik dalam sebuah terowong yang merentasi sempadan Mesir, kata Kementerian Dalam Negeri, hari ini.

Jurucakap kementerian Iyad al-Bozum menerusi kenyataan berkata, seorang anggota polis, Raid al-Ekar, 39, dan Sabhy Abu Qarushayn ,28, dilaporkan mati lemas akibat terhidu gas bertoksik dalam terowong itu.

Katanya, anggota pertahanan awam yang menerima panggilan kecemasan semalam, berjaya membawa keluar dua mayat dalam terowong selepas beberapa jam.

Namun, beliau enggan memberikan sebarang komen mengenai punca sebenar kejadian, tetapi sumber keselamatan Palestin berkata tentera Mesir menggunakan gas bagi menghentikan aktiviti terowong haram yang dijumpai sepanjang sempadan negara itu.

Setakat hari ini, tentera Mesir gagal dihubungi untuk mengulas lanjut tetapi pada tahun 2010, Kaherah menafikan dakwaan sama selepas kematian empat penduduk Palestin dalam sebuah terowong di sempadan.-AFP.

278 dibaca
Berita Harian X