Isnin, 11 Februari 2019 | 4:31pm
Arak buatan tempatan yang murah, mudah didapati di kawasan luar bandar di India. Foto Agensi

99 maut akibat arak toksik di India

NEW DELHI: Sekurang-kurangnya 99 penduduk maut dan ramai lagi dimasukkan ke hospital di utara India, akibat meminum alkohol mengandungi toksik, sekali gus mendesak tindakan tegas diambil ke atas pembuat serta pengedar arak haram.

Laporan kematian di Uttar Pradesh dan Uttarakhand itu mula disiarkan sejak tiga hari kebelakangan ini, dan pihak polis mengesyaki alkohol terbabit mengandungi metanol.

Alkohol buatan tempatan itu dijual dengan murah dan senang diperoleh, terutama di kawasan luar bandar di India, dan pembuat serta pengedar arak haram sering menambah kandungan metanol ke dalam arak yang dijual.

Metanol mengandungi kadar toksik yang tinggi dan sering digunakan sebagai bahan anti beku, selain bagi meningkatkan ketahanan arak terbabit.

Namun, jika diambil dalam jumlah yang banyak, metanol boleh mengakibatkan buta, kerosakan hati dan kematian.

“Seramai 59 orang disahkan maut akibat mengambil alkohol yang mengandungi toksik di Uttar Pradesh,” kata jurucakap polis, Shailendra Kumar Sharma kepada AFP.

Sementara itu, di daerah berhampiran, seorang pegawai kanan polis, berkata sembilan mangsa maut dan 66 orang pembuat dadah haram sudah ditahan, manakala sampel arak sudah dihantar untuk dianalisis pihak makmal.

Di Uttarakhand, polis mengesahkan 31 mangsa terkorban dan dua suspek yang disyaki membekalkan arak terbabit sudah diberkas. - AFP

222 dibaca
Berita Harian X